'Cikgu, jika sakit berehatlah, jangan paksa diri'

Iklan
Utamakan diri sendiri dahulu. Nak jadi lilin membakar diri, jangan sampai hangus - Cikgu Abdul Muiez.

Walaupun sedang sakit, seorang guru itu tetap hadir ke sekolah demi tugas dan tanggungjawab sebagai pendidik.

Namun, jika sudah tidak larat, mohonlah cuti dan dapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.

Iklan
Iklan

Jangan paksa diri untuk bekerja dan menyiapkan pelbagai perkara dalam keadaan diri tidak sihat!

Demikian pandangan penulis mengenai status seorang guru yang sakit dan gigih datang ke sekolah.

Iklan

Katanya, kalau dia tidak datang, banyak kerja tertunggak, sampaikan suami membuat luahan dan bercerita betapa fokusnya isteri dia kepada sekolah. Menangis si suami.

Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar, Selangor, Cikgu Abdul Muiez Ruslee turut memuat naik catatan di laman Facebooknya mengenai topik berkenaan.

Iklan

Catatan yang ditulis itu telah mendapat perhatian dalam kalangan warga maya yang turut meninggalkan komentar mereka di ruangan komen.

"Tepat! Bekerja biar pada acuannya,” kata Fatihah Nang.

"Sungguh. Saya juga begitu ketika masih bekerja di sebuah syarikat penerbitan buku sekolah. Nak bercuti, punyalah risau tentang kerja yang ditinggalkan. Masih telefon anak buah mengingatkan tentang kerja walhal dalam bercuti. Itu semua sikap bertanggungjawab dan amanah kepada tugas. Walaupun mungkin ketua tak pandang, moga ALLAH pandang,” ujar Nur Hidayah Jamaludin.

"Betul cikgu. Staf boleh diganti. Tapi kesihatan tak boleh dibeli. Begitu juga masa keluarga. Peringatan untuk diri saya juga,” tulis Fara Hamidi.

"Masya ALLAH. Teringat arwah abah saya. Sepanjang bergelar cikgu, tak pernah cuti,” jelas Akma Zuraida.

"Teringat seorang guru, latih pelajar sampai luar negara. Tiba-tiba bila sakit, masuk hospital dan tiada seorang pentadbir atau pegawai yang jenguk beliau. Sedih. Kali terakhir masuk hospital, ada wakil sekolah datang tapi sebab nak jual makanan tambahan, kononnya elok. Sejak itu, beliau berhenti buat aktiviti tersebut, biarlah. Cerita lain seorang rakan guru bertugas di negeri seberang, sangat aktif dalam sukan dan ketika sedang berjoging, ada seseorang ketuk kepalanya, alami pendarahan dan terus sakit berpanjangan. Sedih sangat. Pihak jabatan pindahkan dia ke sekolah pedalaman. Sejak itu, saya tahu kita kena beragak buat kerja. Kita sakit, tiada yang peduli, hanya simpati sedetik sahaja,” kongsi Radziah Ismail.

Untuk mengetahui lebih lanjut hantaran Cikgu Abdul Muiez, di sini Sinar Bestari kongsikan untuk tatapan umum.

*****

Baru-baru ini Penolong Kanan Kokurikulum saya diserang 'strok'.

Malam sebelum Hari Guru, beliau dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Persoalannya, adakah esoknya sambutan Hari Guru dibatalkan?

Tidak. Hari Guru masih berjalan seperti biasa. Guru dan murid tetap gembira. Masih lagi gelak ketawa.

Ada dua orang guru penting sekolah saya menunaikan haji tahun ini.

Persoalannya, adakah sesi persekolahan terganggu?

Adakah murid-murid terabai?

Tak. Dua orang pergi haji, tak lama selepas itu masuk dua guru ganti.

Sekolah tetap berjalan macam biasa.

Cikgu-cikgu.

JANGAN INGAT KITA INI ORANG PENTING DI SEKOLAH.

JANGAN INGAT BILA KITA TIADA, SEKOLAH LUMPUH.

JANGAN INGAT BILA KITA TIADA, MURID TERABAI.

Semua itu hanya tanggapan kita saja. Realitinya, tidak.

Andai kita sakit, orang sekeliling hanya sedih sekejap saja. Selepas itu, kehidupan mereka tetap berjalan seperti biasa.

Yang tanggung siapa?

Suami, isteri dan anak-anak yang kita selalu tinggalkan dek kerana kesibukan.

Ingat cikgu-cikgu! Bertugaslah sebaik mungkin. Berikan perkhidmatan terbaik kepada sekolah. Tetapi, jangan sesekali abaikan kesihatan dan keluarga.

Jangan ingat kita ini penting. Kalau kita tak ada, cepat saja orang boleh ganti.

Yang tanggung semuanya siapa? Kitalah.

Saya selalu sebut dekat kawan-kawan. Kalau rasa dah lambat, tak perlu pecut nak bagi cepat sampai. Kita sudah tahu, kalau keluar selepas jam 7, tentu kita akan lambat. Jadi, untuk apa bawa laju-laju?

Teringat kisah dua orang guru kemalangan sesama mereka ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Tidak pasti apa sebabnya. Saya agak, mungkin kerana terlewat.

Tapi itulah. Bila dah jadi, pentadbir hanya boleh ucapkan takziah. Kelab Guru hanya boleh berikan sumbangan sedikit seorang. Tapi yang tanggung kesusahan itu, kita.

Kereta berbulan di bengkel. Terpaksa bersusah payah dengan pasangan. Ya, kemalangan tidak boleh dijangka. Cuma, kita boleh berusaha untuk elak.

Berhati-hatilah. Utamakan diri sendiri dahulu. Nak jadi lilin membakar diri, jangan sampai hangus.

Kesudahannya, yang menanggung kita dan keluarga sahaja.