Pelajar sekolah bermula daripada Tahun Empat sehingga peringkat pengajian tinggi boleh menebus baucar RM100 dijangka bermula petang ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu kenyataan yang dimuat naik di aplikasi X menyatakan, kaedah penebusan baucar itu akan diumumkan secara rasmi oleh penganjur dalam tempoh masa terdekat ini.
"Berita baik untuk para pelajar! Sebagaimana pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur berkenaan dengan baucar buku.
"Ia akan diagihkan secara berperingkat dan dijangka bermula pada petang nanti (Jumaat).
"Terima kasih PM!,” tulisnya.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 ketika ucapan perasmiannya dalam Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambahnya, pemberian baucar itu akan diselitkan bersama panduan pembelian buku bagi menggalakkan amalan membaca dalam kalangan anak-anak muda.
"Kita akan berikan panduan. Ada buku-buku, novel klasik. Ada juga novel-novel oleh sasterawan terkemuka seperti A Samad Said, atau Shahnon Ahmad atau Datuk Mohd Anwar Ridhwan.
"Ada senarai yang kita akan kemukakan. Juga judul baharu berkaitan digital. Saya mahu semua anak-anak kita faham asas kepada artificial intelligence (AI) atau kecerdasan buatan.
"Kita akan unjurkan senarai buku-buku supaya sebahagian daripada wang itu dibeli, digunakan untuk membeli buku yang diusulkan. Sebahagian lagi boleh diberi kelonggaran buku pilihan anak-anak sendiri,” katanya.