10 tip skor Biologi SPM

Iklan
Anggaplah buku Biologi sebagai bahan bacaan yang menyenangkan seperti pelajar selalu menyelak helaian novel.

Subjek Biologi antara mata pelajaran yang dianggap sukar oleh sesetengah pelajar.

Kata mereka, walaupun sudah mengulang kaji sekerap mungkin, namun masih ada dalam kalangan para pelajar yang tetap tidak memahami subjek itu.

Iklan
Iklan

Sebagai membantu golongan ini yang mungkin mengalami pelbagai masalah dalam menguasai mata pelajaran berkenaan, Sinar Bestari senaraikan 10 cara mudah menguasai Biologi seperti dikongsikan guru-guru pakar dalam mata pelajaran itu.

1) Anggaplah buku Biologi sebagai bahan bacaan yang menyenangkan seperti pelajar selalu menyelak helaian novel. Sentiasa membawa buku Biologi walau ke mana anda pergi. Sekiranya ada masa luang, dapatlah pelajar membacanya.

Iklan

2) Mungkin pelajar boleh menghias atau membalut buku dengan pembalut yang disukai.

Kemudian, wajib menggunakan kaedah bio-diagram iaitu permudahkan nota dalam suatu gambar rajah yang lengkap dan berlabel.

Iklan

Bayangkan, apabila pelajar mempraktikkan kaedah ini, mereka sudahpun mendapat beberapa kebaikan iaitu dapat mengingati dan melukis rajah, melabel struktur-struktur penting, membiasakan diri dengan ejaan dan istilah sains yang betul serta mengingati proses mengikut urutan.

3) Pelajar harus melihat keseluruhan topik yang ada. Selepas itu, buatlah satu senarai semak yang mengandungi topik dan subtopik. Dari sini, pelajar akan dapat mengesan tajuk-tajuk yang masih belum dapat dikuasai bermula dari Tingkatan Empat. Topik-topik yang sudah dibaca, harus ditanda sebagai selesai diulang kaji.

4) Kemudahan internet yang ada sekarang juga menyebabkan sebilangan pelajar mempunyai Facebook dan juga laman sosial lain. Alangkah baik sekiranya anda gunakan kemudahan internet itu dengan melayari media sosial untuk melihat dengan jelas simulasi atau paparan sebenar proses-proses Biologi. Jangan lupa juga melayari blog-blog Guru Cemerlang Biologi lain kerana terdapat banyak informasi Biologi yang menyeronokkan.

5) Apabila pelajar sudah menyenangi dan menyenangi guru yang mengajar Biologi, maka sudah tentu secara automatiknya pelajar terdorong mendalami mata pelajaran berkenaan.

Sekiranya menemukan sesuatu yang sukar dalam proses ulang kaji atau mendengar rakan-rakan menyebut agak asing pada pendengaran, maka segeralah merujuk rakan-rakan yang lebih arif atau bertemu sahaja dengan guru.

Jangan biarkan perkara ini berlarutan kerana ditakuti motivasi untuk belajar Biologi akan menurun. Masalah dan kesusahan adalah untuk dihadapi bukan ditangisi.

6) Setiap topik dalam Biologi adalah berkaitan antara satu sama lain. Jadi, penting untuk pelajar memahami dan mendalaminya secara menghubungkaitkan topik-topik berkaitan.

Sebagai contoh, untuk memahami topik pembiakan dan pertumbuhan, pelajar harus kukuh asas pembahagian sel terlebih dahulu.

Jika membaca terutamanya yang melibatkan urutan proses atau istilah-istilah sains, pelajar harus melakukan hafalan berulangkali. Kemudian, berusaha menulisnya secara kerap sehingga pelajar dapat mengingati keseluruhan dengan jayanya.

Membina formula sendiri juga amatlah dialu-alukan seperti:

Monosakarida - Ma Suka Laksa iaitu Maltosa, Sukrosa dan Laktosa

7) Baca terlebih dahulu sebelum kelas bermula. Ini akan membantu pemahaman pelajar sewaktu guru menerangkannya.

Fokus kepada apa yang disampaikan oleh guru. Libatkan secara aktif dalam perbincangan di kelas. Cikgu hanyalah sebagai pemudahcara sahaja. Menjadi tugas anda sebagai pelajar mengukuhkan pemahaman sedia ada.

8) Sebagai aktiviti pengukuhan untuk membantu ilmu itu bertahan lama, selalulah melakukan aktiviti menjawab soalan berkaitan topik tersebut sebaik kelas berakhir.

Praktiskan teknik menjawab yang diajar guru. Lebih-lebih lagi, sekarang kita berdepan dengan transformasi bentuk soalan menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

9) Selain itu, perbincangan mengenai sesuatu topik dengan rakan-rakan amat perlu untuk memantapkan ingatan dan memahirkan ilmu pengetahuan.

Sama-samalah berganding bahu membantu rakan-rakan mengembangkan ilmu yang pelajar ketahui.

10) Untuk cemerlang Biologi, pelajar juga harus tahu strategi belajar yang betul.

Kesimpulannya, tip belajar Biologi di atas akan bermanfaat sekiranya pelajar melaksanakannya dengan kesungguhan hati disertai niat dan motivasi tinggi, penuh konsentrasi, dilakukan secara teratur dan harus sering diulang.

Selamat mencuba dan semoga berhasil.