Pelajar istimewa terima Anugerah Sumber Inspirasi

Iklan
Nurin (tengah) bergambar kenangan bersama ibu dan bapanya.

Dilahirkan sebagai insan istimewa yang tidak berupaya untuk mendengar dan bertutur bukanlah penghalang buat Nurin Alya Halid untuk meneruskan usaha dalam sesi pembelajarannya sehingga diangkat sebagai penerima Anugerah Sumber Inspirasi dalam Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia Murid Bekeperluan Pendidikan Khas 2024.

Lebih membanggakan, graduan dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Shah Alam, Selangor itu bukan sahaja berjaya menamatkan pendidikan menengah dengan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 tetapi kini dia sudah berjaya menjadi usahawan muda yang membangunkan perusahaan sendiri.

Iklan
Iklan

Dia yang merupakan pemilik dan pengusaha Rinleed Batik ketika ditemui Sinar Bestari tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya dan menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana memilihnya sebagai penerima anugerah terbabit.

Nurin

Katanya, pemilihan batik sebagai satu cabang kerjaya kerana minat yang mendalam terhadap struktur warna dan bunga dalam setiap penghasilan seni tersebut.

Iklan

"Saya suka melihat baju yang ada corak batik dan ia adalah satu sumber inspirasi buat saya untuk mencantingbatik yang jauh lebih menarik daripada contoh yang ada.

"Hasil karya saya ini juga saya pasarkan dan dijual kepada masyarakat yang berminat,” katanya menerusi jurubahasa.

Iklan

Perniagaan Rinleed Batik merupakan sebuah syarikat berasaskan produk hasilan batik seperti kain pasang, pakaian kaftan, jubah dan hasilan fabrik berasaskan batik canting dan blok bermotifkan tradisional, geometri dan bunga-bungaan.

Syarikat yang terletak di Tangkak, Johor itu turut aktif dalam mengadakan aktiviti interaktif kraf mewarna batik bukan sahaja di bengkel Rinleed malah ia turut diperluaskan ke sekitar kawasan tersebut bagi tujuan promosi pelancongan.

Ditanya mengenai perancangan seterusnya, anak ketiga daripada enam beradik itu memberitahu, dia berhasrat untuk memperluaskan lagi perusahaan batiknya bukan sahaja dalam negara tetapi juga luar negara.

"Saya mahu membuka kedai batik yang lebih besar hingga mengangkat batik ini sampai diketahui oleh masyarakat luar negara.

"Saya juga mungkin akan menyambung pelajaran di Politeknik dalam jurusan pembuatan baju,” katanya.

Mengakhiri perbualan, anak kelahiran Johor itu turut memberi pesan kepada rakan-rakan yang sama istimewa dengannya untuk tidak malas dan sentiasa mencari peluang untuk terus mencipta nama sama ada di peringkat sekolah mahupun negara.

"Anugerah ini boleh dijadikan semangat buat semua rakan-rakan di luar sana untuk sama-sama lebih berjaya.

"Bagi yang beragama Islam jangan sesekali lupakan ALLAH,” ujarnya.

Dalam pada itu, bapanya Halid Ahmad mengucapakan rasa syukur dan seronok di atas kejayaan anaknya.

"Alhamdulillah, ibu bapa mana yang tidak seronok melihat anak berjaya dengan hasil usahanya sendiri.

"Justeru, saya nasihatkan kepada ibu bapa di luar sana yang mempunyai anak-anak istimewa untuk tidak sorok mereka ini.

"Sebab kita sendiri tidak tahu anak-anak ini kemahirannya di bidang mana. Jadi sokonglah mereka dalam apa jua bidang yang mereka pilih dan ceburi,” katanya