MUET syarat penting permohonan UPUOnline

Iklan
MUET mengukur kemahiran pelajar dalam Bahasa Inggeris melalui empat komponen utama: Listening, Speaking, Reading dan Writing. Gambar kecil: Nurul Iman

Saban tahun, sistem UPUOnline menjadi tumpuan utama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Setaraf dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)/Setaraf untuk mengemukakan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Namun masih ramai yang kurang jelas mengenai pentingnya Malaysian University English Test (MUET) sebagai syarat proses permohonan UPU 2024/2025.

Iklan
Iklan

Dengan tarikh tutup permohonan pada 9 Jun yang semakin menghampiri, adalah penting bagi para pelajar mengambil serius persediaan mereka menghadapi MUET.

Pelajar yang sedang memohon UPU 2024/2025 bagi STPM/Setaraf masih mempunyai masa kemas kini keputusan MUET sehingga tarikh akhir Fasa Pengemaskinian Lepasan STPM/Setaraf pada minggu ke-4 Julai 2024.

Iklan

Ini memberikan pelajar peluang tambahan untuk mencapai Band MUET yang diperlukan sebelum permohonan ditutup.

MUET mengukur kemahiran pelajar dalam Bahasa Inggeris melalui empat komponen utama iaitu Listening, Speaking, Reading dan Writing.

Iklan

Keputusan ujian ini bukan sahaja mempengaruhi peluang kemasukan ke universiti, tetapi juga memberi kesan kepada pembelajaran dan perkembangan profesional pelajar di masa hadapan.

Persediaan awal MUET memberi peluang kepada pelajar untuk memahami dengan lebih baik format dan struktur ujian tersebut, termasuk jenis soalan yang akan dikemukakan dan cara terbaik menjawabnya.

Dengan memahami format ini, pelajar dapat mengelakkan kejutan ketika hari ujian sebenar.

Selain itu, proses persediaan yang panjang dan konsisten membantu pelajar meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris mereka.

Penguasaan yang baik dalam setiap komponen MUET memerlukan latihan dan pembelajaran berterusan yang hanya dapat dicapai melalui persediaan awal.

Membuat persediaan awal juga membantu mengurangkan tekanan yang dialami pelajar.

Dengan persediaan rapi, pelajar dapat menghadapi ujian dengan lebih tenang dan yakin seterusnya dapat mempengaruhi prestasi mereka secara positif.

Untuk membantu pelajar membuat persediaan, beberapa langkah boleh diambil seperti mengadakan sesi latihan harian meliputi keempat-empat komponen MUET, mengikuti kelas tambahan atau bengkel intensif yang fokus kepada persediaan MUET serta membaca bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris seperti buku, artikel dan jurnal secara konsisten untuk memperkayakan kosa kata dan meningkatkan kefahaman pelajar terhadap penggunaan Bahasa Inggeris yang betul.

Ramai pemohon UPU lupa tentang syarat MUET yang menyebabkan permohonan mereka tidak lengkap.

Bagi pelajar yang merancang memohon UPU pada tahun 2025, adalah penting untuk memulakan persediaan MUET dari sekarang.

Amat digalakkan agar pelajar mengambil ujian MUET lebih awal supaya mempunyai masa mencukupi untuk mencapai sasaran Band MUET diperlukan.

Persediaan awal bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan tetapi juga memberi peluang memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris pelajar.

Persiapan awal untuk MUET adalah penting kerana keputusan ujian ini membuka banyak pintu peluang kepada pelajar, baik dalam konteks akademik mahupun kerjaya.

Oleh itu, semua pelajar digesa untuk mula membuat persediaan dari sekarang dan memastikan permohonan UPU lengkap mengikut tarikh-tarikh ditetapkan

Ingatlah, kejayaan dalam MUET bermula dengan persediaan awal yang tekun dan berterusan.

Maklumat penulis

Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan, Nurul Iman Ahmad Bukhari

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my