Semua sudah maklum kepentingan menguruskan kewangan dengan bijak.
Cuma, untuk mendisiplinkan diri dalam bab kewangan, kadang kala menimbulkan sedikit masalah kepada sesetengah individu.
Baru-baru ini, Guru Cemerlang Sains, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah, Cikgu Norhailmi Abdul Mutalib berkongsikan tip pengurusan kewangan kepada guru-guru yang baharu berkhidmat dalam dunia pendidikan.
Cara mudah yang diketengahkan Guru Cemerlang Sains ini adalah berdasarkan pengalaman diri dan rakan-rakan lain.
Kata beliau, pengurusan kewangan bagi cikgu muda yang baru posting memang cabaran besar.
"Baru pegang gaji dan duit sendiri, maka banyaklah benda yang hendak rasa dan beli.
"Apatah lagi komitmen pada awal karier ini memang lain macam sikit. Masa inilah nak simpan duit untuk komitmen besar seperti kahwin, beli kereta, rumah, bantu keluarga dan modal berniaga.
"Itu belum lagi digunakan untuk gaya hidup seperti membeli pakaian, gajet, barang mekap dan sebagainya yang sebelum ini mampu tengok sahaja,” tulis beliau dalam blog sendiri.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengurusan kewangan, Sinar Bestari bawakan sembilan tip hasil buah fikiran Cikgu Norhailmi.
1) Keperluan atau kehendak
Ini paling asas. Walaupun mudah, tapi ramai yang tersilap langkah. Hendak bezakan, apa yang perlu dan apa yang teringin.
Jadi, buat senarai supaya anda jelas antara keperluan dan kehendak. Utamakan barang keperluan daripada kehendak. Macam saya, kalau teringin sangat hendak beli gajet atau apa sahaja, biasanya saya letak sasaran beberapa bulan duit lebihan barulah beli.
2) Catat perbelanjaan
Ini antara benda saya buat masa mula pegang gaji. Dekat tiga tahun juga buat sebab hendak catu duit. Jadi saya akan tulis berapa banyak saya belanjakan untuk makan, bayar duit kereta, sewa rumah, bil dan lain-lain. Tujuan supaya nampak jelas ke mana duit kita mengalir. Jadi bolehlah berhemah sikit untuk bulan berikutnya.
3) Elak multi-level marketing (MLM)
Serius benda ini paling Big No! No! Tak payahlah rasa cepat terpedaya sangat dengan benda-benda yang jenis tidak ada buat apa, tidak usaha, tapi duit boleh masuk jadi cepat kaya. Serius menipu!
4) Elak kad kredit
Masa zaman saya mula jadi cikgu dulu, memang banyak tawaran kad kredit. Semua bank sepakat bagi percuma, tunggu nak jerat bila kita guna saja. Dan godaan ada kad kredit ini memanglah sangat tinggi! Duit tidak ada, tapi boleh 'beli' barang. Selepas itu, hadaplah bunga dan interest setiap bulan.
Walaupun ada yang kata guna kad kredit ok, tak ada masalah kalau pandai urus, boleh guna masa kecemasan dan sebagainya, tapi seperti yang saya kata tadi, godaan dia sangat tinggi. Jadi, kalau anda berhasrat juga hendak guna, maka fahamkan betul-betul syarat dan peraturan, supaya anda tidaklah ditipu dengan cas tersembunyi itu.
5) Simpan 10 peratus atau paksa
Ini antara satu teknik simpan duit yang saya rasakan berkesan untuk saya. PAKSA! Jadi, mula awal kerja saya sudah berkira-kira hendak asingkan sedikit duit supaya boleh jadi simpanan masa kecemasan terutamanya.
Kalau ikut teknik kawan saya, dia akan simpan 10 peratus daripada pendapatan dia. Katakan gaji dia RM3,000, maka automatik dia akan simpan RM300 setiap bulan.
Macam saya pula, awal-awal kerja dulu gaji sikit dan banyak komitmen lain termasuk bayar pinjaman belajar dulu. Maka saya potong siap-siap RM50 untuk masuk ke Tabung Haji. Sengaja saya potong kecil, supaya duit itu tak terasa sangat. Kiranya, simpan teruslah, tidak mahu usik. Bila dah tahun ke-2 atau ke-3 barulah saya naikkan sedikit ke RM100 setiap bulan dan seterusnya.
6) Kumpul dan beli
Ini satu lagi teknik kawalan diri yang saya guna iaitu kumpul dulu baru beli. Katalah saya teringin hendak beli kamera DSLR. Jadi saya tinjau dahulu berapa harga dia dan akan cuba bandingkan dengan baki duit yang saya ada pada setiap bulan.
Katalah, perlu ambik masa sampai enam bulan kumpul duit, maka saya akan betulkan sasaran simpanan. Sebab saya langsung tidak ada pendapatan sampingan masa itu, maka duit simpanan boleh ditambah melalui pengurangan duit belanja bulan-bulan.
7) Beli kereta?
Ukur baju di badan sendiri orang kata. Maka jika anda terpaksa beli kenderaan masa awal-awal kerja, buatlah pilihan lebih tepat. Beli dulu kereta dalam lingkungan mampu milik, sekitar RM40,000 hingga RM50,000. Tidak perlu nampak hebat bergaya, lepas itu anda yang sakit perut hendak menghadap hutang bulanan. Padahal guna kereta, seminggu sekali saja.
Bukan setakat itu, bila beli kereta kita kena fikir juga duit untuk minyak, tol, parking, cukai jalan dan insurans serta kos rosak dan baiki. Semua ini kena ambil kira jugak tahu!
8) Lebih baru belanja
Satu lagi tip yang biasa saya amalkan adalah ada duit lebih selepas disimpan, barulah kita belanja. Bukannya tunggu lebih belanja baru kita nak simpan. Maknanya, lepas kita sudah tolak semua perbelanjaan bulanan yang wajib maka baki yang tinggal itu barulah untuk keperluan kita.
9) Pendapatan sampingan
Tip akhir ini adalah jika anda hendak stabilkan sedikit kewangan anda. Saya tidak galakkan jika mengganggu tugas hakiki sebagai guru. Pendapatan sampingan ini buatlah ikut tujuan kenapa anda hendak kumpulkan simpanan. Motif orang tidak sama.
Seperti saya sendiri, saya dapatkan pendapatan sampingan melalui menulis blog pendidikan pada tahun kelima saya bekerja. Tidaklah kaya raya, tetapi cukup untuk menampung keperluan saya langgan internet setiap bulan.
Ada kawan yang gigih mengajar tuisyen dan juga menjadi tutor peribadi. Terutamanya mereka yang dapat mengajar di kawasan bandar yang lebih berkemampuan.
Ada yang jual dalam talian dan macam-macam lagi. Apa pun anda buat, tetap saya ingatkan, bahawa janganlah sehingga mengganggu tugas hakiki kita sebagai guru dan kedua, janganlah sesekali kita terjerat dengan MLM atau Skim Cepat Kaya.
Akhir sekali, ingat ditegaskan bahawa keperluan duit dan komitmen kewangan setiap orang tidak sama.
Mudahan kita menjadi orang yang beringat masa susah dan senang.