Walaupun menghidap penyakit kronik Sistematik Lupus Eritematosus (SLE) tetapi itu tidak menghalang untuk muncul sebagai pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Nurul Izzati Atirah Tahir, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Berampah, Sipitang, Sabah yang turut mengalami masalah rabun diraikan menerusi Majis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan SPM 2023 kerana mendapat keputusan 4A, 3A- 1B 2C dalam SPM.
Menurut ibunya, Sorurul Rashid, 48, dengan keadaan kesihatan yang kurang baik ia sudah tentu menganggu proses pembelajaran anaknya namun dalam masa sama bersyukur kerana dia boleh melaluinya dengan cemerlang.
"Memang terganggu kerana penyakit yang dihadapi menyebabkan dia cepat letih dan setiap bulan dia akan ke Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah di Likas untuk menghadiri janji temu doktor.
"Saya tidak memantau bagaimana dia belajar kerana memahami keadaan tahap kesihatannya namun mungkin semasa peperiksaan dia fokus kepada pelajarannya dan sejak sekolah rendah lagi dia memang seorang yang cemerlang," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Khamis.
Ditanya bagaimana anaknya itu mendapat penyakit SLE, Sorurul berkata, ia berlaku ketika anaknya berusia tujuh tahun.
"Anak saya mengalami demam berpanjangan sebelum disahkan menghidap SLE," katanya.
Sementara itu, ditanya apa perancangan untuk anaknya selepas ini, beliau memaklumkan kemungkinan Nurul Izzati akan memasuki Tingkatan Enam.
"Doktor pakar memang tidak sarankan dia memasuki asrama selain perlu berulang alik dari Sipitang ke Kota Kinabalu untuk ke hospital jadi mungkin dia akan masuk ke Tingkatan Enam," katanya.