Pasukan Admin DELIMa, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama dengan kerjasama Petaling Jaya Learning City menganjurkan Bengkel Eksplorasi Digital dalam Pendidikan di Dewan Serbaguna MBPJ, Bandar Sri Damansara, baru-baru ini.
Aktiviti ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan ilmu pengetahuan para guru agar dapat merancang pembelajaran menarik menggunakan teknologi digital dan fitur terkini dalam pelantar pembelajaran DELIMa dan beberapa aplikasi relevan dengan alam pendidikan.
Dua fokus utama program iaitu menerangkan langkah-langkah untuk menggunakan Modul Urus Ruang Sekolah yang ada dalam dashboard admin DELIMa, dan penyerapan kegunaan aplikasi dalam proses pembelajaran seperti PIXLR, dan Canva.
Seramai 86 orang guru penyelaras ICT dan admin DELIMa dari semua sekolah di Petaling Utama telah menyertai bengkel selama dua hari itu dengan lancarnya.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon turut hadir menyantuni warga pendidik bersama Ketua Program PJ Learning City, Ts Samsul Bahari Nonchi; Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan JPN Selangor, Mohammad Nuri Hussin dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran, Dr Noor Lina Mohd Yusuf.
Hadir sama ialah pasukan Admin DELIMa PPD Petaling Utama terdiri daripada Maria Farinna Zainal Abidin, Mohd Shazry Osman, Wan Aida Sabreena Che Wan Bakar turut disertai oleh De Learn Technology dari Google, Guru Peneraju Generasi Digital Microsoft dan Google, Nexagate Sdn Bhd dan AI Labs.
DELIMa adalah pelantar pelajaran digital Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang membenarkan perkongsian kandungan antara guru dan murid seluruh negara serta boleh diakses merentasi semua sekolah dengan satu ID sahaja.