Masuk sahaja bulan Jun maka kita sudah memasuki pertengahan tahun dan ia bermakna pelajar-pelajar juga sudah atau sedang berdepan peperiksaan pertengahan tahun.
Antara peperiksaan yang perlu mereka hadapi adalah Ujian Tilawah al-Quran dan Hafazan dan Hadis (UTQH) bagi pelajar Tingkatan Lima.
Ujian ini menyumbang kepada markah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak 20 peratus untuk subjek Pendidikan Islam Kertas Satu.
Terdapat tiga elemen dan aspek yang akan ditaksir oleh pemeriksa antaranya Tilawah al-Quran bagi kemahiran membaca al-Quran; hafazan bagi kemahiran menghafaz al-Quran dan hadis bagi kemahiran membaca hadis.
Ia memerlukan calon menjawab satu soalan ujian yang terdiri daripada satu soalan tilawah, dua soalan hafazan dan satu soalan bacaan hadis.
Memetik perkongsian Cikgu Hanom Taib di aplikasi TikTok miliknya, Sinar Bestari tertarik berkongsi tiga perkara perlu dielakkan oleh pelajar yang berdepan dengan UTQH bagi ujian pertengahan tahun.
Jom kita lihat.
1) Jangan tak hafal
Pelajar-pelajar diingatkan untuk menghafal terlebih dahulu dan mengingati setiap bait ayat al-Quran dan Hadis. Ini untuk mengelakkan berlakunya situasi ‘saya tidak hafal’ di hadapan pemeriksa.
2) Jangan esok nak periksa baru nak menghafal hari ini
Pelajar dinasihatkan untuk sentiasa bersedia dan memulakan hafazan dari awal. Tindakan menghafal sehari sebelum peperiksaan sebenarnya sudah dikira terlambat dan ini akan menyebabkan pelajar menjadi tidak bersedia.
3) Jangan tak baca langsung atau baca perlahan
Pelajar dinasihatkan untuk tidak membaca secara perlahan dan diminta untuk membaca secara jelas. Ini kerana, setiap lafaz yang keluar dari mulut pelajar akan dikira sebagai markah yang akan membantu markah peperiksaan mereka.