Martabat sukan perahu layar

Iklan
Muhammad Dhiauddin

Semakin ramai pelapis baharu diserap menjadi atlet negara

Meskipun perlu berdepan cabaran tatkala berada di lautan, sama ada sebagai atlet mahupun jurulatih sukan perahu layar, namun ia tetap menyerlahkan kemampuan serta karisma jejaka muda dari Selangor, Muhammad Dhiauddin Rozaini.

Iklan
Iklan

Kini berusia 24 tahun, Muhammad Dhiauddin bukan satu nama asing dalam sukan perahu layar negara apabila pernah menyertai dan memperoleh pelbagai pingat dalam beberapa kejohanan ketika bergelar atlet negara.

Bakat dan komitmennya untuk sentiasa memberikan usaha terbaik sejak masih bergelar atlet, ternyata mengeratkan lagi ‘jodohnya’ dengan sukan ini apabila diberi tugas sebagai jurulatih perahu layar dengan Majlis Sukan Negeri Selangor sejak tahun 2022.

Iklan

"Saya mula menceburi sukan ini sejak berusia sembilan tahun dan ditawarkan menjadi atlet negara ketika 12 tahun.

"Perjalanan menjadi atlet negara dalam sukan perahu layar ini diteruskan sehingga saya berusia 20 tahun.

Iklan

"Pada tahun 2022, saya ditawarkan sebagai jurulatih bagi pasukan muda Selangor,” katanya yang lebih gemar dipanggil sebagai Dhiauddin kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Anak kedua daripada lima beradik itu memberitahu, memikul tugas sebagai atlet dan jurulatih sama mencabar baginya walaupun terdapat perbezaan.

Dhiauddin (kanan) ketika Sea games cambodia 2023.

Mana tidaknya, jika dahulu bergelar atlet, dia memberikan fokus bagi mempamerkan prestasi terbaik dalam usaha memperoleh pingat, namun kini kerjaya baharunya memerlukan Dhiauddin menumpukan kejayaan pasukan anak buahnya.

Ditanya mengenai pencapaian terkini atlet muda perahu layar, Dhiauddin mengatakan, bilangan pelapis baharu semakin bertambah dari tahun ke tahun menjadikan sukan itu semakin dikenali dan diberi perhatian.

"Saya boleh katakan bilangan pelapis muda dan baharu semakin bertambah. Malah beberapa atlet dari setiap negeri juga diserap menjadi atlet negara.

"Ia satu pencapaian yang membanggakan sekali gus menjadikan Malaysia sebagai satu negara yang semakin meningkat kualiti pemain dalam sukan perahu layar,•”• ujarnya.

Cabaran sukan perahu layar

Bercerita lanjut mengenai beberapa cabaran yang perlu ditempuh para atlet sukan tersebut, Dhiauddin berkata, ia banyak berkait rapat dengan faktor geografi dan cuaca.

Akuinya, setiap sukan mempunyai cabaran yang tersendiri dan menjadi lebih sukar bagi sukan perahu layar kerana ia dimainkan di tengah laut yang perlu menitikberatkan segala aspek keselamatan.

"Bagi perahu layar, ia berkait dengan faktor cuaca kerana sekiranya hujan atau petir menjadikan keadaan ombak tidak menentu.

"Ia akan merisikokan keselamatan para atlet walaupun ketika latihan.

"Mereka ini bukan sahaja perlu disiapkan dengan persediaan fizikal seperti memakai jaket keselamatan tetapi perlu ada ketahanan mental yang kuat.

"Paling penting terutama ketika berdepan dengan keadaan sukar contohnya, angin kuat atau ombak besar,” beritahunya lagi.

Dhiauddin (dua dari kanan) ketika Sea games 2013 di Myanmar.

Menurut beliau, keadaan laut di Malaysia boleh dikategorikan sebagai kawasan yang sesuai untuk sukan perahu layar berbanding dengan luar negara.

Katanya, jika para atlet bertanding di laut luar negara mereka bukan sahaja perlu berdepan dengan keadaan ombak yang tidak menentu malah terpaksa menghadapi cuaca yang mungkin jauh lebih sejuk dan berkabus.

Dhiauddin berkata lagi, atlet yang terlibat dengan sukan perahu layar ini mempunyai manfaat yang tersendiri sama ada dalam cabang pendidikan mahupun dijadikan sebagai kerjaya satu hari nanti.

"Atlet pelajar perahu layar boleh menjadi satu nilai tambah dalam mengangkat kebolehan diri mereka dan boleh juga dijadikan sebagai kerjaya usai tamat belajar nanti,” katanya.

Antara kejayaan Dhiauddin:

2009 - 2015 (kategori optimis)

Sukan Malaysia (SUKMA) - Emas

Sea Games 2013 - Perak dan Gangsa

Asia Games - Tempat keempat

Olahragawan Harapan 2014

Asian Sailing Championship - Emas

Asian Beach Game - Perak

Sea Games 2015 - Emas

2015 - 2017

Langkawi International Regatta 2016 - Tempat ketiga

Singapore Youth Sailing 2017 - Tempat pertama

Greece International 2016 - Tempat kesembilan

2017 - 2019

Youth World 2017 - Tempat ke-13

Langkawi International Regatta 2018 - Tempat pertama

Langkawi International Regatta 2019 - Tempat pertama

Sea Games 2019 - Tempat keempat

Sattahip Thailand 2019 - Tempat ketiga

Top of The Gulf Thailand 2019 - Tempat kedua

SUKMA 2022 - Perak

Sea Games Cambodia 2023 - Perak