Bercakap sahaja tentang sukan perahu layar pasti ramai membayangkan risiko dan bahaya terutama para atlet yang terlibat dengan sukan ini.
Mana tidaknya, mereka bukan sahaja perlu mengendalikan perahu layar dengan pantas dan laju tetapi juga berdepan dengan pelbagai risiko keselamatan diri memandangkan sukan itu dimainkan di tengah-tengah laut.
Namun segala risiko itu ditolak ke tepi jika sudah ditenggalami rasa minat dan seronok berada di atas perahu dan berlayar di tengah laut, apatah lagi sukan itu juga boleh mengangkat nama baik sendiri, keluarga dan juga negara.
Terpanggil untuk berkongsi kisah lebih lanjut mengenai keunikan dan keseronokan sukan ini, Sinar Bestari sempat menemu bual tiga pelajar.
Jom kita lihat!
Cerita 1
Aina Zulaikha Azizul Rahman bermula sebagai pemain biasa yang berdepan beberapa cabaran termasuklah mabuk laut.
Namun semua itu tidak menjadi penghalang buatnya untuk terus berlatih kerana bagi Aina, perahu layar adalah sukan yang menyeronokkan.
Pelajar Tingkatan Empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelibang, Kedah itu memberitahu, kesungguhan dan ketekunan diri dalam sukan itu akhirnya membuahkan hasil lumayan apabila dia terpilih menjadi salah seorang atlet Malaysia.
"Saya terpilih sebagai atlet negara sukan perahu layar pada tahun lepas dan agak terkejut juga. Alhamdulillah saya bersyukur sebab memang sudah lama mengimpikan untuk bermain mewakili negara.
"Sekarang, sesi latihan banyak dihabiskan di Pulau Langkawi, Kedah dan bersekolah di sana, walaupun perlu berjauhan dengan keluarga,” katanya.
Bercerita mengenai rutin harian, Aina mengakui perlu bijak membahagi masa antara pelajaran dan latihan.
Justeru, semasa sesi persekolahan, tumpuan sepenuhnya diberikan bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP), manakala sesi latihan di laut pada sebelah petang digunakan sebaiknya bagi menambah kualiti diri sebagai atlet.
"Sepanjang terlibat dengan perahu layar ini saya dapat katakan saingan sengit adalah dari negara Thailand mungkin kerana atlet mereka laju.
"Saya berharap dapat mengalahkan mereka suatu hari nanti dan buat masa ini perancangan ini untuk mendapatkan pingat dalam sukan Sea tahun depan,” ujarnya.
Cerita 2
Diperkenalkan dengan sukan perahu layar sejak kecil menjadikan Muhammad Zafir Mohd Zailan, 19, semakin meminati sukan ini.
Baginya, walaupun ia satu sukan yang mencabar tetapi sebagai seorang yang menggemari aktiviti lasak dan ekstrem menjadikannya semakin menarik untuk diceburi.
"Sukan ini lain daripada yang lain sebab dimainkan di laut. Pemain bukan sahaja perlu berwaspada dengan faktor perubahan cuaca tetapi bersedia mental dan fizikal.
"Walaupun kedengaran tidak mudah tetapi sebenarnya ia satu sukan yang amat menyeronokkan,” katanya.
Pelajar Diploma Pengajian Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, keterlibatannya dalam perahu layar dijadikan sebagai titik tambah lebih-lebih lagi kini dia merupakan mahasiswa.
"Orang yang sertai sukan ini dapat banyak merit di universiti dan mereka lebih aktif kerana sentiasa menjaga stamina diri.
"Apabila aktif, hendak menuntut ilmu pun jadi senang dan sentiasa cergas,” kata Muhammad Zafir.
Mengakhiri perbualan, dia turut merancang untuk memperoleh pingat bagi SUKMA Sarawak pada Ogos nanti.
Cerita 3
Pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang, Selangor, Noramira Elena Zahra Mohamad Azrin memasang minat untuk terlibat dalam sukan perahu layar sejak dari Tahun Tiga.
Katanya, minat itu juga tercetus disebabkan melihat abangnya yang turut sama terlibat dalam sukan tersebut.
"Saya meminta mak untuk menghantar saya ke sesi latihan setelah melihat abang bermain perahu layar.
"Saya rasa seronok dan ia sedikit sebanyak menyuntik minat saya untuk sama-sama menjadi atlet perahu layar dengan abang,” katanya.
Ditanya mengenai sama ada ia mengganggu pelajaran atau tidak, Noramira memberitahu, dia bijak dalam membahagikan masa antara belajar dan sesi latihan.
Jelasnya, sesi persekolahan bermula Isnin hingga Jumaat itu, digunakan sebaiknya dengan menumpukan kepada pembelajaran manakala pada setiap Sabtu dan Ahad pula digunakan untuk sesi latihan perahu layar.
"Dengan kegigihan ini, saya berharap agar suatu hari nanti dapat terpilih untuk bermain di Sukan Malaysia (SUKMA),” katanya.