Pemilihan tema perayaan Piala Dunia Brazil membawa tuah kepada pasukan rumah hijau apabila meraih gelaran juara acara perbarisan pada Kejohanan Olahraga Tahunan ke-17 Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota 2, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Guru rumah hijau, Cikgu Farah Nur Amira Natasha Asmadi berkata, walaupun mempunyai masa kurang 10 hari untuk melatih koreografi dan formasi persembahan, dia tetap berpuas hati dengan semangat dipamerkan anak murid.
"Sasaran kami hendak buat sesuatu (tema) yang meriah supaya murid-murid dapat bergembira (have fun) sekali. Jadi kita ambil (perayaan) Brazil kerana banyak lagu yang rancak," jelasnya.
Katanya, pasukan mereka seramai 30 murid berlatih koreografi selama tiga jam sehari sebagai persediaan acara perbarisan yang diadakan di Kompleks Sukan MSN, Setiawangsa.
"Usaha ini berbaloi dan kami akan cuba mempertahankan kemenangan tahun hadapan," katanya lagi.
Sementara itu, Guru Besar, Cikgu Hazizan Hussain berkata, perkara yang penting selain daripada memenangi acara dan pingat adalah memupuk disiplin yang tinggi kepada murid.
Pada acara itu, pasukan rumah hijau membawa tema pesta tarian samba yang sinonim di jalanan ibu kota Brazil, Rio De Janeiro.
Selaku juara perbarisan, pasukan rumah hijau memenangi wang tunai sebanyak RM350 beserta piala pusingan selepas menewaskan rumah biru yang membawa tema hari raya di tempat kedua, manakala rumah kuning dan merah terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dan keempat.
Pada kejohanan itu, pasukan rumah kuning menggondol gelaran juara keseluruhan selepas mengutip 66 pingat (29 emas, 20 perak, 17 gangsa) manakala naib juara, rumah merah dengan kutipan sebanyak 63 pingat; rumah hijau ketiga (56 pingat) dan rumah biru keempat (50) pingat.
Anugerah olahragawan dan olahragawati bagi tahun 2024 dimenangi Yuyian Sivaganesh dan Nur Adriana Kameelya Khairudin.