Kenapa anak muda enggan sambung belajar?

Iklan
Minat untuk belajar pudar disebabkan anak-anak muda mahu bekerja sebagai penghantar p-hailing atau influencer.

Keengganan anak-anak muda menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi bukanlah isu yang baharu berlaku.

Sebaliknya, perkara itu sudah lama terjadi sehinggakan masyarakat sudah ‘lali’ dengan situasi tersebut.

Iklan
Iklan

Sebenarnya, banyak punca generasi muda hilang minat belajar.

Selain tekanan daripada ibu bapa dan masalah kewangan, faktor lain yang menyebabkan mereka malas belajar kerana mahu bekerja.

Iklan

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkongsi faktor mengapa anak-anak muda tidak mahu menyambung pelajaran.

Katanya, minat untuk belajar pudar disebabkan mereka mahu bekerja sebagai penghantar p-hailing atau pempengaruh (influencer) yang menawarkan pendapatan tinggi.

Iklan

Bagaimanapun jelas beliau, apa jua kerjaya yang ingin diceburi anak-anak muda, mereka harus ingat bahawa ilmu dan kemahiran tetap menjadi keutamaan.

Kenyataan yang dikongsi menerusi platform Facebook pada Khamis, mendapat pelbagai reaksi daripada pengikut laman sosialnya.

Sinar Bestari memetik sebahagian komen yang mengulas tentang isu berkenaan.

"Betul Datuk. Tak akan sama orang berilmu dengan yang tidak,” kata Rasmuna Binti Hamzah.

"Terima kasih Mara yang mempermudahkan anak-anak muda untuk sambung belajar walaupun tercicir dalam pelajaran. Guna peluang yang ada sebaiknya untuk masa depan. Mungkin tak kaya tapi sekurangnya boleh membantu keluarga,” tulis Tajol Ariffin.

"Saya rasa, bukan anak generasi sekarang tidak minat belajar. Cuma...hidup sebagai pelajar itu miskin dan banyak belanja perlu dikeluarkan walau dibiaya. Kehidupan sekarang cukup mahal dan memenatkan,” ujar Mohd Abdullah.

"Kena ingat, sekarang muda umur 20 an, boleh kerja E-hailing sampai 10 jam sehari. Bila 40aan nanti macam mana? Nak teruskan kerja yang sama ke,” maklum Mohamad Amirul Jais.

"Betul tuan...ramai anak muda ke arah E-hailing. Takut makin lama kita kekurangan tenaga pakar yang berpelajaran,” menurut Bro Sharif.

"Belajar tinggi pun belum tentu dapat kerja. Daripada menanggung hutang dan menyusahkan ibu bapa, lebih baik kerja apa-apa pun asalkan hasil lumayan,” kongsi Hisham Shaari.

"Saya tidak rasa sebab pendapatan. Saya rasa anak muda ini dalam fasa 'buta potensi' dan ini bukan salah mereka. Saya anggap mereka adalah golongan tercicir kerana sekolah hanya fokus kepada 'budak pandai belajar' sedangkan setiap manusia ada potensi unik mereka sendiri dan sistem sekolah belum cukup untuk membantu menggali potensi anak-anak muda,” jelas Harmawati Berahima.

"Dalam jangka masa panjang akan tiba satu masa warga Malaysia yang tidak berilmu dan pupus golongan professional,” kata Aisy Mikhail.