Kekurangan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menimbulkan keresahan dalam masyarakat.
Ini kerana, kekurangan tersebut akan mengakibatkan negara kehilangan tenaga kerja profesional seperti doktor dan saintis.
Dalam membantu negara menarik minat pelajar kepada STEM, baru-baru ini, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama syarikat biofarmaseutikal global Pfizer dan Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) Electron Devices Society (EDS) Malaysia menganjurkan program MEGA STEM4FUN di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam, Selangor.
Menurut Ketua Projek, Profesor Ir Dr Ahmad Sabirin Zoolfakar, para pelajar perlu didedahkan dengan budaya inovasi bagi melahirkan bakat kreatif dan berdaya saing serta mempunyai pemikiran kritis.
Malah katanya, kecemerlangan pelajar STEM ke peringkat tertiari (peralihan selepas tamat pendidikan menengah) dapat mengalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam ciptaan baharu.
Penolong Naib Canselor, Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM, Profesor Ir Ts Dr Hamidah Mohd Saman pula berkata, dalam era digital dan IR 4.0, adalah amat penting bagi generasi muda mempunyai kemahiran relevan dan diperlukan industri.
"MEGA STEM4FUN bukan sahaja bertujuan meningkatkan pemahaman pelajar terhadap konsep-konsep STEM, tetapi juga untuk memberikan mereka pengalaman praktikal melalui pelbagai aktiviti menyeronokkan dan interaktif," jelasnya.