Jaminan masa depan dengan PIMA

Iklan
Dua pelajar program PIMA yang menjalani pembelajaran kemahiran di industri masing-masing.

Satu lagi cabang bantu pelajar terlibat dalam industri bermula dari alam persekolahan

Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) diwujudkan bagi membantu para pelajar sekolah menengah terutamanya Tingkatan Empat dan Lima yang dikategorikan sebagai tercicir dalam memilih hala tuju kerjaya mereka.

Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) merangkap penyokong kuat program PIMA Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rahman Putra, Selangor, Datuk Seri Azmin Mustam Abdul Karim berkata, kerjasama dan penglibatan antara sekolah dan pihak industri membolehkan pelajar-pelajar ini mempunyai alternatif lain sekiranya mereka tidak cenderung ke arah bidang akademik.

Azmin Mustam

Iklan
Iklan

Malah, mereka yang sebelum ini dilihat mempunyai masalah kehadiran ke sekolah dan sering kurang diberi perhatian akhirnya mendapat pembelaan menerusi program PIMA.

"PIMA ini adalah program di mana pihak sekolah menjalinkan kerjasama dengan industri kemahiran khususnya untuk mengambil pelajar menuntut ilmu secara terus dalam bidang yang mereka pilih.

Iklan

"Selama dua hari mereka akan belajar di sekolah sama seperti pelajar aliran perdana dan tiga hari lagi iaitu Rabu, Khamis dan Jumaat, dihabiskan di syarikat atau industri pilihan. Contohnya bengkel kereta atau motosikal,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.

Azmin Mustam berkata, kewujudan PIMA telah memperkasakan lagi keputusan peperiksaan sekolah yang mana sebelum ini, peratusan lulus pelajar hanyalah 80 peratus dan kini meningkat kepada 90 peratus.

Iklan

Ujarnya, ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan bilangan pelajar terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak layak mendapat sijil itu.

PIMA bantu pelajar PPKI

Tidak hanya itu, Azmin Mustam memberitahu, PIMA juga membantu anak-anak Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi menjadikan masa depan mereka lebih terjamin.

"Anak-anak istimewa PPKI ini selalunya selepas tamat SPM, perjalanan mereka akan tamat sebab tiadanya laluan atau platform yang terbaik buat mereka.

"Sekurang-kurangnya dengan PIMA ini, mereka bukan sahaja memperoleh sijil kemahiran yang amat berguna tetapi mempunyai kemahiran dan skil untuk mencorak masa depan mereka,” ujarnya.

Kerjasama industri dan sekolah

Azmin Mustam yang juga merupakan Pengarah Urusan Petro Teguh (M) Sdn Bhd turut menggalakkan kerjasama pelbagai industri bagi menambah peluang dan kepelbagaian pilihan kemahiran.

Katanya, setakat ini industri seperti automotif, spa dan bakeri menjadi pilihan utama pelajar-pelajar PIMA.

"Dalam situasi sekarang ini, alangkah bagusnya jika PIMA ia ditambah dengan beberapa peluang kemahiran lain.

"Dengan sokongan dan kerjasama pihak industri ia dapat menggerakkan PIMA, sekali gus membantu pelajar yang berkemahiran serta berminat ke arah teknikal dan bukan akademik.

"Kita juga menggalakkan ibu bapa untuk membuka mata bahawa anak-anak yang terlibat dengan PIMA sebenarnya mampu mencipta masa depan sendiri mengikut minat masing-masing,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Bukit Rahman Putra, Abd Rashid Sarti berkata, perancangan menambah baik program PIMA telah dirangka dengan jalinan kerjasama bersama institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyalurkan pelajar-pelajar ini mendapatkan ilmu kemahiran secara formal.

Abd Rashid

Katanya, perancangan itu adalah untuk memperluaskan lagi PIMA dan bidang kemahiran serta membuka peluang pelajar menyambung pengajian dalam bidang yang mereka pilih ke peringkat lebih tinggi.

"Bagi tahun 2024, kita telahpun memperluaskan PIMA di sekolah-sekolah berdekatan dan membuka peluang kepada pelajar yang berminat.

"Pengambilan baharu untuk pelajar Tingkatan Empat juga sedang dijalankan. Harapnya selepas ini akan bertambah juga bilangan industri dan syarikat yang terlibat,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai kejayaan program PIMA ini, Abd Rashid berkata, terdapat beberapa pelajar yang telahpun mendapatkan pekerjaan selepas tamat SPM.

Tambahnya, ia membuktikan kebolehan dan keupayaan mereka dalam bidang kemahiran sekali gus membantu sebagai jaminan masa depan yang lebih cerah