Sesetengah pelajar kelas belakang tidak meminati mata pelajaran Matematik disebabkan subjek itu susah dan memerlukan hafalan formula.
Oleh itu, Guru Cemerlang Matematik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir Kechil, Sungai Petani, Kedah, Cikgu Farah Hayana Idris telah memperkenalkan koleksi tip penting tentang Matematik khas untuk pelajar kelas belakang.
"Setelah saya aplikasikan tip ini di dalam kelas, semua pelajar tidak tidur dan mereka tekun menyiapkan latihan Matematik.
"Malah, mereka juga tertunggu-tunggu subjek berkenaan untuk belajar dan buat ulang kaji,” katanya kepada Sinar Bestari.
Bagi mengetahui lapan rahsia Cikgu Farah Hayana berkenaan Matematik, kami kongsikan di sini untuk rujukan para pelajar.
1) Ambil gambar aktiviti dan rekod video mereka (pelajar) sebanyak mungkin. Paparkan sebagai rujukan pelajar lain. Kemudian, tawan hati mereka dengan memberi pujian ke atas hasil kerja yang menarik.
2) Beri latihan ikut kemampuan dan tahap pelajar serta semak latihan di hadapan mereka. Beri teguran atas kesalahan yang mereka buat, sekiranya ada.
3) Beritahu pelajar markah minimum yang perlu capai untuk lulus Matematik dan Tahap Pencapaian (TP) dalam Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang harus mereka peroleh. Sebagai contoh, saya letakkan markah TP3 dan terus akan berganjak ke TP4 andai pelajar mampu menunjukkan kejayaan.
Sentiasa kemas kini markah yang mereka sudah capai dalam borang penilaian kendiri masing-masing. (dilekatkan dalam fail perkembangan pelajar). Saya letakkan juga TP mengikut tahap perkembangan dan maklumkan kepada mereka.
4) Minta pelajar beri refleksi setiap kali habis pengajaran supaya tahu tujuan dan maksud pembelajaran hari itu. Sering kali bertanya kepada pelajar sama ada selesa belajar di dalam kelas, kantin atau ruang legar untuk mencipta momen baru bagi setiap tajuk. Ini akan memberikan impak dan ingatan kepada mereka tentang tajuk yang dipelajari.
5) Sentiasa selitkan unsur kecindan dan juga unsur yang sangat diminati pelajar sewaktu pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC). Contohnya isu bola sepak atau trending masa kini dan kaitkan dengan pembelajaran hari tersebut.
Cikgu jangan terlalu serius ketika mengajar. Terkadang pelajar perlukan seseorang untuk meluahkan rasa yang terpendam. Ini akan membangkitkan minat belajar dan menyebabkan mereka akan beri kerjasama apabila guru menyuruh ke hadapan kelas dan meminta bantuan.
6) Kenal pasti potensi pelajar yang ada dan cuba ketengahkan bakat mereka di dalam kelas. Contohnya jika ada pelajar pandai melukis komik, beri kredit untuk mereka hasilkan komik bagi subjek atau topik tertentu.
7) Setiap kali mengajar, pastikan pelajar fokus dengan kata kunci.
8) Berdoa setiap kali mula kelas dan masuk dengan langkah kaki kanan ke kelas.
Saya akan menyelitkan doa untuk pelajar yang susah belajar, pelajar yang bermasalah dan sentuh jiwa mereka dengan doa secara umum.
Dan diakhiri dengan doa ‘Sahaja aku hadir ke sekolah hari ini untuk menuntut ilmu kerana ALLAH’.
Untuk pelajar bukan Islam pula, saya minta pelajar niatkan dalam hati yang mereka datang ke sekolah untuk menuntut ilmu dengan membawa harapan ibu dan ayah demi sebuah kejayaan seterusnya mengubah nasib keluarga.
Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran, Cikgu Norhasyimah Mohamad memuji usaha dilakukan oleh Cikgu Farah Hayana terhadap anak-anak didiknya.
"Terima kasih cikgu atas perkongsian tip penting ini.
"Asbab kita mengajar dan mendidik mereka, insya-ALLAH kita dapat masuk syurga. ALLAH tidak tanya apa hasilnya tetapi ALLAH menilai usaha guru-guru dalam mendidik mereka.
"Teruskan usaha cikgu semua. Jalan syurga sentiasa terbentang di hadapan. Insya-ALLAH, saya akan bantu dan beri keutamaan kepada yang memerlukan,” ujarnya.