Murid Tahun Enam raih hampir RM30,000 hasil hobi memancing

Iklan
Muhammad Alif Irfan di samping ibunya, Nor Khaizan menunjukkan sijil kemenangan berupa wang tunai RM20,000 yang diperolehinya ketika menyertai pertandingan memancing Khamis lepas.

Hobi memancing seorang murid Tahun Enam dari Kampung Dengir, Jertih, Terengganu membawa tuah apabila berjaya mengumpul wang hasil kemenangan dalam pertandingan memancing mencecah RM30,000 sejak awal tahun ini.

Hadiah kemenangan terbesar diraih Muhammad Alif Irfan Ahmad Numan, 12, setakat ini ialah RM20,000 apabila muncul johan setelah berjaya menaikkan ikan keli seberat 5.4 kilogram (kg) Khamis lepas.

Iklan
Iklan

Kemenangan anak kedua daripada empat beradik dalam pertandingan memancing di sebuah kolam ikan berhampiran rumahnya itu sekali gus menyebabkan lebih 1,000 peserta lain pulang hampa.

"Dalam pertandingan itu, saya hanya menggunakan sebatang joran berumpankan isi ayam yang dibuat sendiri oleh ibu saya. Ikan sambar mata kail tidak lama selepas saya mula memancing,” kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Puteri.

Iklan

Kongsinya lagi, hadiah kedua terbesar yang diperoleh pula sebanyak RM5,000 apabila memenangi pertandingan memancing di Setiu seminggu sebelum Aidiladha lepas.

Muhammad Alif Irfan berkata, dia pergi memancing dengan ditemani bapa tirinya, Mohd Farid Kadir, 32, dan ibunya Nor Khaizan Hasan, 36, yang turut minat memancing.

Iklan

Sementara itu, Nor Khaizan berkata, dia bersyukur kerana hobi anaknya sejak berumur lapan tahun itu kini mampu menghasilkan pendapatan sampingan selain mengisi tabungnya sendiri.

"Hasil kemenangan RM20,000 yang diperoleh minggu lepas, saya beli motosikal untuk kegunaan masa akan datang selain menghadiahkan sejumlah wang kepada ahli keluarga terdekat. Selebihnya saya simpan di bank untuk tabungan Muhammad Alif Irfan.

"Hobi ini tidak mengganggu persekolahan kerana pertandingan selalunya berlangsung pada malam minggu,” kata suri rumah itu. - Bernama