Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik dan sedang meneliti cadangan sukarelawan dari Singapura bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid khususnya yang berada di kawasan miskin bandar, pinggir bandar dan luar bandar termasuklah Sabah dan Sarawak.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, cadangan ini sedang diteliti terutamanya dari sudut pelaksanaan di institusi pendidikan KPM agar ia selari dengan dasar dan peraturan sedia ada.
"KPM prihatin dan sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memantapkan keupayaan guru Bahasa Inggeris dalam melaksanakan pedagogi bermakna yang memanfaatkan penguasaan subjek itu dalam kalangan murid.
"KPM juga akan mengenal pasti sukarelawan yang mempunyai kelayakan tertentu bagi menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP),” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sabak Bernam Kalam Salan di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Kalan bertanyakan mengenai perancangan khusus KPM berhubung cadangan untuk membawa masuk tenaga pengajar Bahasa Inggeris dari Singapura ke nagra kita yang diumumkan baru-baru ini serta langkah untuk memperkasa PdP serta latihan untuk guru Bahasa Inggeris tempatan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan cadangan untuk membawa sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari negara jiran itu selepas pertemuan empat mata bersama rakan sejawatnya, Lawrence Wong.
Hasil perbincangan ini telah mewujudkan skim bantuan dan sukarelawan berbentuk hubungan diplomasi antara dua negara selain membantu meningkatkan penguasaan subjek berkenaan dalam kalangan murid.