Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkasa keupayaan pelatih Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dalam kampus induknya melalui program The Adventure of Trainers 2.0: Fly High Together 2024.
Program membabitkan seramai 121 peserta itu terdiri daripada pelatih, ibu bapa dan guru diterbangkan ke Langkawi, Kedah bagi memberi pendedahan kepada menimba pengalaman luar bagi mencabar kebolehan diri ketika dalam persekitaran luar.
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, USM, Profesor Dr Azlan Amran berkata, program itu juga bertujuan melatih ibu bapa pelatih (TOT) supaya bersedia menghadapi situasi luar, selain mendedahkan pelatih kepada realiti kehidupan sebenar, meningkatkan kawalan tingkah laku dan emosi mereka.
"Pada masa sama, ia diharap meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan dalam persekitaran baharu.
"Selain itu, program ini juga bertujuan mewujudkan kerjasama komuniti PPDK demi kemajuan dan perkembangan 24 pelatih yang merupakan anak-anak pendidikan khas pelbagai kategori berusia antara tiga hingga 16 tahun,” katanya ketika hadir menyaksikan perlepasan program yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Stesen Malaysia Aviation Group (MAG), Wan Mohd Shamshah Mohamad Akhir; Eksekutif Pemasaran Zon Utara, Puan Naslinda Nasbah dan Pengurus Kumpulan Rangkaian Hotel Seri Malaysia (RHSM), Farrah Sharizah Mohd Yunus.
Dalam pada itu, PPDK merupakan inisiatif USM yang telah ditubuhkan sejak tahun 2019 bagi melatih kemahiran motor kasar dan halus, khususnya kepada pelatih yang terdiri daripada anak-anak pendidikan khas.
Program anjuran PPDK Kampus Induk USM dan Peneraju Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu (BJIM) USM selama tiga hari itu, mendapat penajaan penerbangan daripada MAG selain RHSM dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Azlan berkata lagi, USM adalah universiti awam yang memulakan inisiatif menubuhkan PPDK dalam kampus sejak 19 Julai 2019 dan kini mempunyai seramai 56 orang pelatih dalam pelbagai kategori yang terdiri daripada anak kakitangan dan komuniti setempat.
"Selaras dengan aspirasi misi dan visi USM, projek PPDK ini memberi impak sangat positif kepada kakitangan, komuniti setempat dan universiti sendiri.
"Perkembangan dan potensi pelatih terus digilap sehingga PPDK USM dijadikan penanda aras oleh 20 universiti awam di negara ini, selain menerima kunjungan pakar perubatan hospital, sekolah pendidikan khas bagi melihat proses pemulihan dilakukan kepada pelatih.
"Sehubungan itu, USM akan memperkasa perkembangan berterusan pelatih dan memberi sokongan penuh dalam memastikan perkembangan mereka dapat dioptimumkan,” katanya.
Katanya, USM amat terbuka untuk melakukan kolaborasi dengan industri dan agensi bagi bersama-sama dalam memperkasa golongan kurang upaya.
Ia kerana program seumpama ini satu bentuk terapi pemulihan untuk meningkatkan kemahiran integrasi pelatih dalam kelompok masyarakat.