Teknologi dan penggunaan dron dilihat semakin meluas dengan kemunculan pelbagai cabang baharu menjadikan ia terus popular dalam kalangan pelajar khususnya dari institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Salah satunya ialah kewujudan bola sepak drone atau drone soccer yang popular di Korea. Ia kemudian diperkenalkan di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut Ketua Unit Dron, Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Zuraidy Shamsudin, memandangkan bola sepak dron dipertandingkan di peringkat dunia iaitu Drone Soccer World Cup, Malaysia sepatutnya tidak ketinggalan untuk terlibat sama dalam sukan alaf baharu ini.
Justeru katanya, kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) merancakkan lagi penglibatan pelajar yang sedikit sebanyak melahirkan lebih ramai pemain hebat di arena bola sepak dron.
"Di CIAST sendiri, demonstrasi perlawanan drone soccer mula dipertontonkan pada tahun lepas dan dari situ, kami mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan JPK bagi mengadakan satu siri perlawanan liga TVET Dron Soccer.
"Pada awalnya, penglibatan dalam sukan ini hanyalah pelajar-pelajar dari institusi TVET seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), GiatMara dan politeknik.
"Bagaimanapun sejak kita buka peluang dengan mewujudkan kategori terbuka ketika Hari TVET Negara 2024, ramai orang awam atau mahasiswa universiti berminat untuk sertai drone soccer ini,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.
Bercerita lanjut mengenai struktur permainan ini, Zuraidy memberitahu, peraturan yang diguna pakai dalam setiap perlawanan siri mengikut 100 peratus berdasarkan kejohanan dunia di Korea.
Cuma, buat ketika ini skala permainan dikecilkan bagi menambah bilangan penyertaan dan peluang kepada pelajar sekali gus mengurangkan kos dalam menghasilkan sebiji bola dron berkenaan.
"Di Korea atau negara lain, mereka menggunakan sangkar atau gelanggang yang lebih luas membabitkan lima dron dalam satu perlawanan.
"Dron-dron ini berpecah mengikut posisi seperti penyerang, pertahanan dan penjaga gol.
"Bagaimanapun di Malaysia, kita wujudkan sangkar yang lebih kecil dan hanya dua dron bagi setiap pasukan diperlukan membabitkan posisi penyerang dan pertahanan,” jelasnya lagi.
Ditanya perancangan mengangkat sukan moden ini, Zuraidy dengan penuh semangat meluahkan keyakinan untuk mewujudkan satu pasukan bola sepak dron negara bagi menyertai perlawanan di Korea atau China, tahun depan.
Ujar beliau, ia bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar merasai sendiri perlawanan bertaraf dunia, selain membuktikan Malaysia juga mampu bergerak seiring negara maju lain.
Peraturan bola sepak dron
Menurut jurulatih Dron Soccer CIAST, Muhammad Shafiq Abdullah, hanya dua pemain yang diperlukan dalam setiap perlawanan bertindak sebagai penyerang dan pertahanan.
"Cara membezakan yang mana satu dron penyerang atau pertahanan adalah melalui tali atau reben yang ada pada salah satu dron.
"Dron penyerang sahaja dibenar membuat jaringan dan sekiranya sudah berjaya, ia perlu patah balik ke tengah seperti sukan bola sepak.
"Gol tidak dikira sekiranya pertahanan yang membuat jaringan,” ujarnya.
Katanya lagi, dalam setiap perlawanan pasti berlaku kejadian tidak diingini seperti dron rosak dan tidak boleh terbang.
"Sekiranya itu berlaku, pemain perlu bijak membaca situasi dan bertindak mengikut posisi sesuai agar dapat menandingi pasukan lawan.
"Contohnya andai penyerang mengalami kerosakan, dron pertahanan perlu jadi pengganti dan membuat jaringan.
"Tetapi ia perlu bergantung kepada situasi di mana, sekiranya pasukan sudah banyak membuat gol, dron ini cukup sekadar menjaga gawang,” katanya.
Perkara penting yang perlu tahu tentang drone soccer Malaysia
1) Pembinaan dron direka khas mengikut spesifikasi ditetapkan oleh World Drone Soccer.
2) Ia perlu dibina dengan bingkai dan digabungkan dengan alat kawalan jauh bagi menggerakkannya.
3) Kos keseluruhan yang diperlukan untuk membina satu biji bola dron adalah sebanyak RM2,700.
4) Juruterbang dan pasukan teknikal perlu memastikan dron masing-masing boleh terbang dan berfungsi sebelum perlawanan bagi mengelak situasi menang tanpa bertanding.
5) Kerosakan yang sering berlaku dalam setiap perlawanan hanya melibatkan bingkai dron dan kos membaiki kira-kira RM60.
6) Selalunya dalam perlawanan pertukaran bingkai hanyalah sekali memandangkan ia juga kukuh.