Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan berkaitan untuk mematuhi garis panduan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.
Perkara ini ditekankan kerana isu penganjuran program amal di sebuah sekolah melibatkan sumbangan syarikat minuman keras seperti yang dilaporkan media, baru-baru ini.
Menurut kenyataan KPM, isu ini sedang diperhatikan dan disiasat secara lanjut.
"KPM mengalu-alukan usaha sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan bagi tujuan pembangunan selaras dengan inisiatif Sekolah Milik Masyarakat.
"Namun ini perlu dilaksanakan berdasar kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018.
"Ia melarang sumbangan melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani,” katanya.
Tambah kenyataan itu, KPM sentiasa proaktif menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda.
"Pelbagai program kesedaran dan pendidikan pencegahan dianjurkan di sekolah bertujuan untuk memberi bimbingan kepada murid,” akhir kata kenyataan tersebut.