PNGK Nasional STPM 2023 catat peningkatan tertinggi

Iklan
Mohd Ekhwan ketika sidang media Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2023 pada Selasa. Foto: Rosli Talib

Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Nasional Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas sebanyak 0.02 mata sekali gus keputusan tertinggi sejak peperiksaan itu dilaksanakan.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, secara keseluruhannya bilangan dan peratusan longgokan calon STPM 2023 pada PNGK 3.75 dan ke atas ialah seramai 4,153 calon atau 10.00 peratus.

Iklan
Iklan

"Manakala PNGK 3.00 dan ke atas pula membabitkan seramai 18,621 calon atau 44.82 peratus diikuti dengan PNGK 2.75 dan ke atas 37,428 calon atau 90.08 peratus.

"Dengan peningkatan bilangan calon pada PNGK ini, insya-ALLAH tiada halangan untuk lebih ramai lepasan STPM 2023 diterima masuk ke universiti awam pada tahun ini berbanding lepasan STPM tahun lepas,” katanya ketika sidang media Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2023 di Dewan Besar MPM, Selayang, Selangor pada Selasa.

Iklan

Mohd Ekhwan berkata, seramai 41 calon mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas iaitu hanya 38 calon.

"Daripada jumlah ini, 29 daripadanya merupakan calon daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Iklan

"Bagaimanapun, bilangan calon yang mendapat 4A menurun sedikit iaitu daripada 1,158 calon pada 2022 kepada 1,087 calon,” ujarnya.

Mohd Ekhwan (tengah) memaklumkan PNGK Nasional STPM 2023 meningkat berbanding tahun sebelumnya. Foto: Rosli Talib

Jelas Mohd Ekhwan lagi, daripada 41,548 calon yang hadir, sebanyak 99.93 peratus atau 41,520 calon layak dianugerahkan sijil STPM 2023.

"Dengan peningkatan PNGK Nasional ini, saya menggalakkan lebih ramai pelajar SPM mengambil STPM kerana melaluinya mereka mempunyai pilihan untuk meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara,” ujarnya.