Biarpun bersekolah di daerah pedalaman, ia bukan penghalang untuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Kuala Penyu, Sabah muncul antara pelajar terbaik seluruh Sabah menerusi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.
Malah Norlin Doivirin, 20, juga turut mengharumkan nama sekolah apabila dia satu-satunya daripada 57 pelajar di SMK Pekan Kuala Penyu mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.
Bercerita lanjut, Norlin yang merupakan anak sulung daripada empat beradik berhasrat menjadi pendidik suatu hari nanti.
"Saya bercadang mahu melanjutkan pengajian dan sudah menghadiri temu duga program pendidikan Sejarah dan Pendidikan Jasmani di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 11 Julai lalu.
"Saya memang gemar dalam bidang sukan dan aktif merentas desa ketika di sekolah. Jadi saya berharap akan mendapat tawaran melanjutkan pengajian dalam jurusan itu,” ujarnya ketika ditemui selepas menerima sijil anugerah pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2023 di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu Selasa.
Selain bidang pendidikan, Norlin juga berminat untuk belajar perundangan sebagai pilihan lain.
"Saya berminat dalam undang-undang tetapi tidak dapat melepasi untuk menghadiri temu duga kerana syarat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memerlukan gred A- subjek Bahasa Inggeris dan saya hanya B+ saja.
"Oleh itu, saya teruskan di bidang pendidikan dan menganggap tiada rezeki dalam perundangan,” tuturnya lagi.
Diminta berkongsi petua bagaimana mendapat keputusan cemerlang, Norlin berkata, dia mengamalkan konsep apa yang ditanam itulah hasil yang dituainya.
"Kita sebenarnya sudah boleh jangka dari awal apa yang akan dapat dengan usaha yang di lakukan.
"Jadi saya konsisten sepanjang belajar demi mendapatkan PNGK 4.00,” jelas Norlin.
Sementara itu, Norlin berkata, kedua ibu bapanya sangat mengambil berat mengenai pendidikan mereka adik beradik.
"Mereka sanggup berpindah dari Membakut ke Kuala Penyu supaya saya lebih dekat ke sekolah.
"Apabila kami menetap di Kuala Penyu, agak dekat dengan sekolah iaitu kira-kira tiga kilometer dari rumah di Kampung Batu Tiga,” ujarnya.