Minat yang mendalam dalam bidang Sains sejak sekolah rendah membuahkan hasil apabila berjaya dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kategori Sains Bumiputera bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.
Muhammad Hadiz Norazlin, 20, berkata, dia yang pernah dianggap 'pelik' oleh rakan sekelas kerana minat tersebut mempunyai tanggapan berbeza mengenai subjek berkenaan meskipun dikatakan susah oleh rakan-rakannya.
"Saya terlalu minat dalam Sains menyebabkan saya melakukan yang terbaik bagi memastikan memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM. Sejak kecil saya menonton eksperimen berkaitan subjek Sains dan menanam impian untuk cemerlang dalam subjek berkenaan.
"Tidak dinafikan silibus mata pelajaran Sains membosankan dan mampu mematahkan semangat, tetapi saya pastikan subjek itu seronok untuk dipelajari,” katanya.
Berkongsi kejayaannya, pemuda berasal dari Muar, Johor itu turut mengakui bantuan daripada guru serta sokongan daripada rakan-rakannya yang berjaya melanjutkan pengajian di universiti menjadi pemangkin semangat untuknya berusaha keras dalam pelajaran.
Menurut anak ketiga daripada lima adik beradik itu, pengalaman yang dikongsi rakan-rakannya mengenai pengajian di institut pendidikan tinggi (IPT) membuatkannya teruja untuk melanjutkan pelajaran.
Buta tidak halang untuk cemerlang
Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM bagi Calon Berkeperluan Khas (CBK) Penglihatan, Tan Jun Sheng, 20, tidak menganggap kekurangannya sebagai alasan untuk memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
Mengakui teknologi masa kini banyak membantunya dalam pembelajaran, anak kelahiran Pulau Pinang itu menggunakan kemudahan seperti komputer dan talian internet untuk melakukan kerja kursus dan nota.
"Walaupun ada menggunakan kod braille, tetapi kadang-kadang guru tidak sempat untuk mengajar. Jadi saya minta mereka menghantar nota dalam bentuk Portable Document Format (PDF) memudahkan pembelajaran.
"Rakan-rakan juga banyak membantu dalam proses belajar sebab mereka turut berkongsi nota sekiranya saya tidak nampak apa yang cikgu tulis di papan putih,” katanya yang merupakan bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin Pulau Pinang.
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, anak tunggal pasangan Tan Gin Theam dan Anna Lim itu berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Politik kerana berminat untuk mendalami dasar-dasar negara selain beriltizam memberi nilai tambah pada masa akan datang.
Guru, rakan penguat semangat
Penerima Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan bagi Kategori CBK fizikal/spastik, Muhammad Nazif Idham Ahmadie Abdullah berhasrat untuk menjadi seorang pendidik dalam bidang Bahasa Inggeris dengan melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada masa akan datang.
Anak tunggal pasangan Ahmadie Jamaludin dan Maya Suma Amzah dari Lawas, Sarawak itu bertekad mahu menyumbang kepada masyarakat terutama generasi akan datang sekali gus memberi inspirasi kepada golongan tersebut agar tidak berputus asa dengan kekurangan diri.
"Penyakit yang saya hidap ini menyebabkan saya tidak boleh belajar sama seperti orang lain, buat banyak nota.
"Jadi saya lebihkan sesi perbincangan bersama rakan-rakan dan melaluinya, kami bukan sahaja mampu menghafal tetapi memahami topik yang diberikan dengan efektif.
"Pada masa hadapan, saya harap dapat menyumbang bakti kepada generasi muda terutama dalam bidang pendidikan bahasa," ujarnya.
Peruntuk satu jam sehari untuk ulangkaji pelajaran
P Paarmitha hanya memperuntukkan tempoh maksimum satu jam setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran sepanjang tempoh menghadapi STPM tahun lalu.
Malah penerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi mata pelajaran Sejarah dari Persatuan Sejarah Malaysia itu menganggap tempoh tersebut sudah cukup untuknya memberi fokus dan perhatian sebaiknya terhadap mata pelajaran yang dipilih.
"Saya akan mengubah subjek yang diulang kaji setiap hari supaya tidak bosan dan akan memberi tumpuan sepenuhnya sewaktu dalam kelas.
"Saya juga mengamalkan bertanya kepada guru jika ada perkara yang tidak difahami selain berbincang dengan rakan tentang topik yang dipelajari untuk meningkatkan pemahaman.
"Untuk subjek Sejarah pula, saya akan memahami sebelum menghafal fakta dan menceritakan semula kepada rakan saya," jelasnya.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2 itu menjadikan guru mata pelajaran tersebut iaitu Cikgu Juliana sebagai pendorong untuknya memperoleh keputusan cemerlang.
"Beliau sanggup menghabiskan masa rehatnya dengan mengadakan kelas secara online semasa cuti sekolah," ujarnya.
Mendiang bapa jadi pembakar semangat
Mendiang ayahnya, Solaiah Achary yang meminati bidang politik, isu-isu semasa dan guaman telah membangkitkan semangat Ananda Ishwary mendalami bidang berkenaan untuk membantu masyarakat yang kurang bernasib baik.
Menurut anak bongsu dari dua adik beradik itu, kisah keluarganya yang pernah dibuli oleh saudara terdekat juga telah menjadi pendorong untuknya menjadi seorang peguam suatu hari nanti.
Penerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM (Kategori Orang Asli) itu berkata, dia tidak pernah menyangka akan dianugerahkan dengan gelaran itu dan menganggap penat lelahnya selama ini ‘dibayar’ dengan anugerah paling manis dalam hidupnya.
"Saya bangga dengan kejayaan diri sendiri, bangga menjadi anak Orang Asli dan tanpa kekuatan serta semangat daripada ibu saya, tidak mungkin berada di sini sekarang.
"Semua yang saya capai pada hari ini, saya ucapkan terima kasih kepada mendiang ayah, ibu, kakak, guru-guru STPM dan rakan-rakan sekelas yang banyak membantu,” katanya.
Berkongsi pengalaman sepanjang menduduki STPM, Ananda Ishwary memaklumkan, dia hanya memberi tumpuan sepenuhnya semasa belajar dengan memaksimumkan pemahaman.
"Saya juga tidak mahu membebankan keluarga untuk hantar tuisyen, jadi saya rujuk kepada cikgu-cikgu STPM sekiranya terdapat sebarang persoalan dalam mata pelajaran yang kurang difahami.
"Saya juga banyak meluangkan masa untuk mengajar rakan sekelas dengan mengulangi dan menerangkan konsep kepada mereka, sekali gus membantu memperbaiki ingatan saya terhadap fakta-fakta penting,” jelasnya.