Sekolah pendidikan khas alami kekurangan dana

Iklan
Zariah (tengah) mengajar pelajar yang mempunyai beberapa kategori di Sekolah Pendidikan Khas Nur Azalea, Johor Bahru.

Sebuah sekolah pendidikan khas di Jalan Gertak Merah, Johor Bahru, Johor berdepan masalah kekurangan dana yang dikhuatiri menjejaskan operasinya.

Guru Besar, Sekolah Pendidikan Khas Nur Azalea, Zariah Ahmad berkata, sekolah itu memerlukan dana RM40,000 sebulan bagi menampung kos operasi termasuk pembayaran gaji pekerja, pembayaran bil utiliti, kos pembelajaran dan sebagainya.

Iklan
Iklan

"Kami hanya mampu memperoleh dana kurang daripada RM10,000 sebulan hasil sumbangan ramai selain pembayaran yuran sekolah iaitu antara RM70 hingga RM100 bagi setiap pelajar.

"Keadaan ini menimbulkan kesulitan terutama daripada soal pembayaran gaji kakitangan. Terdapat 56 pelajar serta 14 kakitangan di bahagian pengurusan.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya bimbang sekiranya keadaan tersebut berterusan akan menjejaskan operasi sekolah berkenaan.

Dakwanya, ramai ibu bapa juga berharap sekolah itu dikekalkan demi masa depan anak kurang upaya terutama autisme, 'sindrom down' dan kanak-kanak masalah pembelajaran.

Iklan

"Sehingga kini kami berjaya mendidik hampir 600 pelajar dan kebanyakannya menunjukkan perkembangan yang baik terutama dalam soal mengurus diri serta rutin harian," ujar beliau.

Selepas tamat persekolahan katanya, mereka berpeluang bagi mengikuti bengkel khas bersama restoran makanan ringan yang secara tidak langsung mendedahkan dengan alam pekerjaan serta turut menerima elaun.

Zariah berkata, pihaknya bersyukur kerana menerima geran tahunan daripada kerajaan negeri mahupun geran langsung bagi makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mampu meringankan sebahagian kos.

Menurutnya, bagaimanapun masalah kekurangan dana masih menghantui pihak pengurusan yang semakin bimbang dengan masa depan sekolah.

Katanya, sekolah berkenaan berada di bawah kelolaan Persatuan Bagi Kanak-kanak Kerencatan Akal Johor.

"Kami mengalu-alukan kerjasama ramai bagi menjayakannya selain berharap orang ramai tampil menyewa kemudahan dewan sekolah kami bagi penganjuran sebarang program keramaian," katanya.