"Cikgu bangga dengan kamu Nur Zahra Ariesa kerana begitu cekal dan gigih berlatih dengan cikgu.
"Dari seorang murid yang pendiam dan merendah diri, kini kamu sudah berubah menjadi murid yang matang dan berjiwa besar. Ketawa dan air mata kamu ketika berlatih lebih sebulan sudah berbaloi bagi cikgu apabila kamu naik podium menjadi juara,” demikian hantaran Saidi Yusof di akaun Facebooknya, baru-baru ini.
Saidi yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jejulong, Marang, Terengganu merakam penghargaan itu setelah menyaksikan sendiri pengorbanan anak didiknya dalam bidang sukan.
Sementara itu, catatan Cikgu Saidi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu Nur Zahra Ariesa yang sangat penyayang dan sabar dalam mendidik anaknya.
"Setiap hari, beliau (ibu) berkorban masa dan tenaga menghantar kamu (Nur Zahra Ariesa) berlatih. Semoga kejayaan ini dapat membanggakan ibumu.
"Pengalaman melatih kamu dan rakan lain memberi pengajaran baru yang begitu bermakna dalam mendidik anak bangsaku,” tulisnya lagi.