Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus komited memainkan peranan memperkukuh kolaborasi dengan institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam menyampaikan mesej antirasuah kepada golongan mahasiswa di seluruh negara.
Ketua Cawangan Pendidikan, Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Farah Najwa Abdul Aziz ketika berucap merasmikan Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) IPMa siri 2 2024 di Pusat Kecemerlangan Pelajar (Puskep) MARA di Lenggong berkata, sebanyak 2,998 program kesedaran antirasuah dilaksanakan sejak 17 tahun penubuhan AMAR.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan SPRM pada majlis itu, beliau berkata, program berkenaan melibatkan seramai 816,734 pelajar dalam usaha menyebarluaskan mesej antirasuah di peringkat kampus di seluruh Malaysia.
"Sambutan dan maklum balas menggalakkan yang diterima dalam kalangan pelajar, maka penubuhan AMAR disifatkan amat relevan dan sewajarnya dijadikan platform utama dalam mendekati golongan pelajar tanpa mengira perbezaan latar belakang kaum, agama dan bangsa," katanya dalam kenyataan itu.
SPRM memaklumkan, sehingga kini, 118 Kelab AMAR telah ditubuhkan melibatkan pelbagai universiti awam, swasta, Institusi Pendidikan MARA (IPMa) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysia dengan objektif membudayakan nilai murni dan antirasuah sekali gus menjadi pemangkin kerjasama antara SPRM dan IPT.
Menurut SPRM, kem kali ini disertai 97 peserta terdiri presiden atau ahli majlis tertinggi AMAR melibatkan 12 pusat AMAR IPMa antaranya Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading, KKTM Ledang dan KKTM Masjid Tanah.
Turut hadir pada kem berkenaan Ketua Unit Integriti MARA, Suhaimi Man dan Pengetua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab Sungai Besar, Firdaus Abd Razak yang juga berperanan sebagai ketua fasilitator. - Bernama