Ketibaan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang, disambut meriah lebih 913 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Acheh pada Selasa.
Rata-rata dalam kalangan mereka dilihat segak berbusana tradisional sambil mengibarkan Jalur Gemilang tatkala mengiringi konvoi yang berarak masuk ke perkarangan sekolah berkenaan sejurus tiba tepat pukul 12 tengah hari.
Konvoi yang singgah selama dua hari di negeri ini telah membuat persinggahan di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) pada Isnin dan diteruskan ke Seberang Perai Tengah (SPT), seterusnya Seberang Perai Selatan (SPS) dengan SMK Sungai Acheh menjadi salah satu lokasi yang disinggah.
Pengarah Penerangan Pulau Pinang, Hasmiza Hussin berkata, pelaksanaan KMJG edisi ini adalah berkonsepkan 'Penyerahan Jalur Gemilang' yang menyaksai konvoi membawa Jalur Gemilang ke seluruh negara dan diserahkan di setiap sempadan negeri.
"Hari ini, kita berada di Pulau Pinang untuk hari kedua dan SMK Sungai Acheh merupakan checkpoint yang ketiga.
"Selepas ini, kita akan buat penyerahan kembara konvoi kepada negeri Perak di SMK Parlimen Putih Gantang di Parit Buntar," katanya ketika berucap pada majlis menyambut ketibaan konvoi KMJG 2024 peringkat Pulau Pinang di sini.
Majlis sambutan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Rashidi Zinol dan ia turut dihadiri Pegawai Daerah SPS, Khairulnizam Hashim serta Pengetua SMK Sungai Acheh, Samsiah Omar.
Rashidi dalam ucapannya mahukan supaya generasi muda hari ini mengenang dan menghargai perjuangan generasi terdahulu yang telah bersusah-payah menentang penjajah untuk mencapai kemerdekaan.
Beliau juga mahu semangat patriotisme bukan sekadar ditulis di ruangan media sosial, sebaliknya turut diterjemahkan melalui perbuatan.
KMJG 2024 Pulau Pinang itu disertai kira-kira 25 kenderaan pelbagai jenis dan 20 motosikal daripada Kelab Suzuki V-Strom dengan penglibatan pelbagai agensi seperti Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Jabatan Penyiaran Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Untuk rekod, Konvoi KMJG 2024 bermula di Dewan Permatang Pasir ke Pasar Awam Penanti sebelum membuat beberapa persinggahan di SPT dan kemudiannya ke SPS, sebelum ke SMK Teluk Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar di Perak.
Sebanyak 6,500 Jalur Gemilang diedarkan kepada orang ramai, Komuniti Madani dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semasa dua hari konvoi berada di Pulau Pinang. - Bernama