Sejumlah 48 kematian disebabkan penyakit denggi dilaporkan di Malaysia setakat bulan Julai tahun ini. Jumlah in adalah peningkatan sebanyak 25% kes kematian disebabkan denggi, berbanding tahun lepas.
Sehingga 28 Julai 2024, sebanyak 2,690 kes denggi dicatatkan, iaitu kenaikan sebanyak 13% kes dalam tempoh yang sama berbanding tahun lepas.
Malahan, saban tahun, jangkitan denggi dilaporkan semakin meningkat meskipun pelbagai usaha dan kempen daripada Kementerian Kesihatan dan orang awam telah diadakan untuk membanteras penularan denggi.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peruntukan sebanyak kira-kira RM294 juta untuk Program Pencegahan dan Kawalan Denggi bagi tempoh lima tahun (2022-2026).
Selain Malaysia, negara-negara di Rantau Asia Pasifik lain turut merekodkan jumlah peningkatan kes denggi.
Berikut adalah statistik kes denggi yang dilaporkan di beberapa negara jiran untuk tahun ini:
1) Indonesia: 35,500 kes denggi dengan 290 kematian (sehingga Mac 2024)
2) Thailand: 30,353 kes denggi dengan 36 kematian (sehingga Jun 2024)
3) Filipina: 77,867 kes denggi dengan 205 kematian (sehingga Jun 2024)
4) Vietnam: 42,000 kes denggi dengan 5 kematian (sehingga Julai 2024)
5) Singapura: 10,111 kes denggi dengan 7 kematian (sehingga Julai 2024)
Denggi adalah penyakit yang disebabkan virus denggi yang membiak dan disebarkan melalui nyamuk Aedes.
Dua jenis nyamuk Aedes yang merupakan pembawa virus denggi ini adalah nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus.
Kedua-duanya boleh menghasilkan sekitar 100-200 biji telur untuk setiap ekor nyamuk betina, untuk satu kitaran pembiakan.
Pembiakan nyamuk sering berlaku di kawasan takungan kecil air seperti di dalam bekas pembungkusan makanan polisterin yang tidak dilupuskan, botol plastik, pasu bunga, bekas cat dan tayar.
Nyamuk-nyamuk ini juga sukakan keadaan yang lembap dan tertarik pada kawasan gelap.
Untuk penghasilan telur, nyamuk betina dewasa perlu menghisap darah manusia.
Tempoh aktif nyamuk adalah sekitar selepas waktu subuh dan sebelum senja (Maghrib).
Oleh itu, masyarakat digalakkan menutup pintu dan tingkap rumah masing-masing ketika nyamuk bergerak aktif kerana virus denggi tersebar kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes.
Dua jenis denggi
Terdapat dua jenis denggi menurut klasifikasi World Health Organization (WHO) iaitu demam denggi (dengue fever) dan demam denggi berdarah (dengue haemorrhagic fever).
Tanda-tanda awal jangkitan denggi adalah demam pada suhu yang tinggi selama tiga hingga hari, badan lesu dan pening kepala, yang kadang-kala disusuli dengan tanda-tanda ruam di badan, lengan dan kaki.
Gejala-gejala demam denggi berdarah termasuklah pendarahan yang sukar berhenti, gusi berdarah, hidung berdarah, muntah darah, pendarahan haid (yang lama dan banyak) serta najis berdarah.
Demam denggi berdarah boleh mengakibatkan komplikasi lain seperti komplikasi hati, jantung, otak dan juga menyebabkan kematian.
Sesiapa sahaja, tanpa mengira umur dan keadaan kesihatan, berpotensi untuk mendapat demam denggi.
Seseorang yang pernah dijangkiti virus denggi berpotensi untuk mendapat jangkitan denggi untuk kali kedua, ketiga, mahupun keempat.
Ini kerana terdapat empat jenis virus denggi (serotypes).
Selepas jangkitan kali pertama, pesakit mungkin mempunyai antibodi untuk virus denggi jenis tersebut sahaja dan tidak mampu melawan virus denggi jenis yang lain.
Malahan, jangkitan denggi kali kedua mempunyai keberangkalian tinggi untuk mengakibatkan demam denggi berdarah.
Penurunan suhu
Pesakit demam denggi kebiasaannya akan mengalami penurunan suhu badan di antara hari keempat sehingga hari ketujuh demam.
Namun, tempoh 48 jam selepas suhu badan menurun merupakan waktu kritikal yang perlu dipantau oleh penjaga pesakit dan pihak hospital.
Oleh itu, keluarga pesakit serta pihak hospital perlu memantau keadaan pesakit denggi di dalam tempoh kritikal tersebut.
Sehingga kini, tiada ubat untuk membunuh virus denggi di dalam badan (ubat antiviral).
Rawatan yang diberikan adalah dalam bentuk rawatan sokongan, seperti menambah cecair di dalam badan.
Untuk minggu yang akan datang, Jabatan Meterologi Malaysia telah meramalkan hujan, ribut petir dan suhu panas, kesemuanya merupakan iklim yang optimum untuk pembiakan nyamuk Aedes.
Kawasan yang berpotensi tinggi untuk pembiakan nyamuk ini adalah seperti kawasan pembinaan, tempat pembuangan sampah dan kawasan perumahan di flat/kondominium.
Hakikatnya, jentik-jentik nyamuk mampu hidup di dalam sekecil-kecil takungan air seperti air yang terperangkap di dalam penutup botol plastik, botol kecil atau bekas sudu plastik.
Cara yang paling mudah, murah dan berkesan untuk menghalang jangkitan denggi adalah dengan menghapuskan kawasan takungan air kecil yang menjadi pusat pembiakan jentik-jentik nyamuk Aedes.
Usaha ini perlu dilakukan oleh semua pihak, malah kesedaran dan amalan kebersihan serta pencegahan pembiakan nyamuk Aedes ini perlu diterapkan di dalam setiap individu dan golongan masyarakat, bermula daripada pendidikan awal di tadika dan sekolah.
Setiap keluarga perlu mengadakan pembersihan di kawasan rumah masing-masing setiap minggu.
Sampah yang boleh menakung air perlu dibasmi dan penggunaan racun larva seperti temefos di dalam kolah air mampu mencegah pembiakan nyamuk.
Hanya dengan membudayakan dan memasyarakatkan aktiviti-aktiviti pembersihan dan gotong-royong seperti ini, kita mampu menjadikan kes-kes denggi menurun di negara ini.
Maklumat Penulis
1) Pensyarah Kanan, International Medical School, Management and Science University (MSU), Dr Intan Azura Shahdan
2) Professor Madya, International Medical School, MSU, Profesor Madya Datuk Dr Rose Nani Mudin
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my