Ibu kongsi kejayaan anak, titip pesan ibu bapa jangan mudah putus asa dengan anak

Iklan
Ibu bapa dinasihatkan untuk bertanya apakah minat anak dan dorong mereka ke arah minat itu walaupun bukan bidang akademik.

Setiap pelajar di negara ini mempunyai kecenderungan yang tersendiri mengikut minat masing-masing sama ada dalam bidang akademik mahupun kemahiran.

Malah, jika dilihat hari ini juga bidang kemahiran yang dahulunya dipandang rendah kini semakin menjadi perhatian dek kerana pertambahan bilangan pelajar yang mula mencipta nama menerusi kejayaan mereka dalam dan luar negara.

Iklan
Iklan

Justeru, ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting untuk menilai kecenderungan ini agar dapat menjamin masa depan anak-anak supaya lebih cerah tanpa perlu memaksa mereka mengikuti aliran pembelajaran yang bukan kehendak utama.

Terpanggil untuk berkongsi kisah manis yang dimuat naik oleh seorang ibu di laman Facebook, Sinar Bestari tertarik untuk mempamerkan kisah ini agar dapat menjadi contoh khususnya buat ibu bapa yang mempunyai anak tidak minat atau tidak cemerlang dalam akademik.

Iklan

Menurut hantaran @Zeeda Aziz, anaknya yang bernama Danish boleh dijadikan sebagai contoh kerana walaupun tidak mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun dia kini memiliki dua Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua dalam bidang jahitan.

Jom ikuti perkongsian menarik ini, siapa tahu dapat dijadikan sebagai ikutan buat ibu bapa di luar sana yang turut mempunyai anak-anak tidak cemerlang dalam akademik tetapi menginginkan masa depan yang lebih cerah dalam apa jua bidang lain.

***************************************************************************************************************************************

Iklan

Hantaran ini untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak tidak minat belajar (bersekolah) atau tidak cemerlang akademik.

Dalam hal ini, anak saya Danish sebagai contoh kerana dia tidak mempunyai SPM namun memiliki dua SKM Tahap Dua dalam bidang jahitan.

Alhamdulillah, Danish sudah mula bekerja. Hanya sekali temu duga, dia diterima untuk bertugas sebagai Penasihat Fesyen di sebuah butik mewah di Selangor.

Gajinya juga Alhamdulillah cukup baik membolehkan dia tinggal berasingan dan mula hidup berdikari.

Ibu bapa sekalian,

Tidak semua anak-anak ini minat dalam bidang akademi. Dari empat anak saya dua mungkin cenderung akademik dua lagi cenderung kemahiran.

Danish ini dahulu pelajar sekolah Sains berasrama penuh. Kemudiannya kami bawa dia balik ke Sungai Petani, Kedah dan bersekolah di sekolah berprestasi tinggi.

Namun prestasi pelajarannya semakin menyusut lebih-lebih lagi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Akhirnya saya dapat tahu yang dia cenderung bidang kemahiran bukan akademik.

Ketika di Tingkatan Empat, saya dan suami keluarkan Danish daripada sekolah itu dan tempatkan di Kolej Keda, Sik Kedah. Disinilah Danish belajar asas jahitan pakaian wanita (Tahap Dua).

Tuan puan boleh lihat program-program yang ditawarkan di kolej ini. Tenaga pengajarnya bagus dan sangat disyorkan. Aktiviti untuk pelajar pun menarik dan paling penting kemenjadian pelajar berada di tahap yang boleh dibanggakan.

Kemudiannya, anak saya menyambung pengajian di Giat Mara Kuala Lumpur untuk mendalami bidang jahitan pakaian lelaki (Tahap Dua) pula. Danish dilihat seronok belajar di sini kerana peserta datang daripada pelbagai latar belakang dan umur yang berbeza.

Kursus ini pula hanya enam bulan sahaja. Bulan Ogos tahun ini, Danish berjaya mendapat pekerjaan. Itupun anak saya hantar resume malam, pagi sudah dapat panggilan temu duga. Seminggu selepas itu, Danish menerima tawaran kerja tersebut.

Graduan di bidang kemahiran Insha-ALLAH cepat dapat pekerjaan.

Tuan puan, jangan rasa berputus asa jika anak anda tidak berminat dengan sekolah atau gagal akademik. Mungkin kecemerlangan mereka berada di tempat lain.

Duduklah dan berbuah dengan anak, tanya apa minat mereka. Kalau tidak tahu minat apa, paksa sahaja.

Saya cakap ‘paksa’ kerana salah seorang graduan di Kolej KEDA adalah hasil paksaan ibu bapa. Sekolah tidak mahu, minat tidak ada. Sudahnya paksa sahaja anak masuk kolej kemahiran dan ambil bidang yang dilihat sesuai.

Tetapi, elok pula dalam terpaksa belajar sebab dia pernah menang pingat emas dalam World Skill Competition sekarang sudah bekerja dengan syarikat bertaraf antarabangsa. Jadi tidak salah paksa apabila keadaan mendesak demi kebaikan masa depan mereka juga.

Usahlah bersungut andainya anak-anak tidak menjadi seperti yang kita mahukan. Sebaliknya, kita faham dahulu kekuatan dan kecenderungan mereka.

Setiap manusia ada potensi, setiap manusia ada fungsi.

Insha-ALLAH, sabar dan kefahaman kita tentang anak-anak akan menjadikan mereka insan yang berguna.