Eksplorasi Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) yang disertai 250 pelajar/belia dan tenaga pengajar dari pelbagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seluruh negara bertujuan memberi pendedahan kepada peserta dalam perkara berkaitan rasuah.
Program julung kali anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, berlangsung di Dewan Datuk Seri Haji Azam Baki, SPRM Selangor, pada Jumaat.
Menurut Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Nazli Rasyid Sulong, pelaksanaan KIAR sebagai subjek wajib adalah salah satu strategi SPRM selaras dengan ketetapan mesyuarat Majlis TVET negara untuk memberikan pengetahuan dan mewujudkan kebertanggungjawaban bersama dalam usaha membanteras rasuah khususnya kepada komuniti pelajar aliran TVET.
"SPRM telah mengambil langkah awal dengan memperkenalkan projek rintis KIAR di institusi TVET seperti Institut Latihan Teknik dan Perdagangan, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Negeri Sabah pada tahun 2021; Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kuala Lumpur dan Melaka di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Jun 2023 dan di 22 institut latihan kendalian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Ogos 2023.
Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pentauliahan, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kesuma, Mahazrul Kamarrudin.
Sementara itu, Nazli Rasyid berkata, SPRM bersedia menyediakan tenaga pengajar latihan jurulatih dan tenaga pensyarah bagi 10 sub modul di bawah kursus ini.
Ia kerana, ujar beliau, komuniti TVET mempunyai peranan penting dalam menyumbang kepada ekonomi negara di mana jumlah firma Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) sebanyak 1,173,601 buah dan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) PMKS adalah 11.6 peratus.
Untuk rekod, jumlah siswazah TVET dari 2018 hingga 2023 seramai 256,901 orang dengan bidang terbesar TVET adalah kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan dengan kadar kebolehpasaran graduannya sekitar 92.5 peratus.