Kumpulan WhatsApp untuk pelajar sekolah biasanya dibentuk dengan beberapa tujuan yang bermanfaat.
Antara kebaikannya adalah memudahkan pelajar berkongsi nota subjek, membantu mereka bekerjasama dalam projek kumpulan, perbincangan topik pembelajaran, memberi sokongan moral dan motivasi terutamanya semasa peperiksaan serta banyak lagi.
Kumpulan WhatsApp pelajar harus digunakan secara bijak untuk memastikan ia memenuhi tujuan asal dan tidak mengganggu fokus pelajar terhadap pembelajaran mereka.
Bagaimanapun, lain pula jadinya dengan kumpulan WhatsApp murid Tahun Empat dari sebuah sekolah di negara ini.
Difahamkan, kumpulan WhatsApp mereka dipenuhi dengan ayat-ayat tidak sesuai seperti ayat lucah melalui aplikasi itu.
Seorang ibu dikenali asmahn. telah memuat naik hantaran di Threads mengenai kewujudan kumpulan WhatsApp anaknya.
Tulis beliau, anaknya telah dijemput untuk menyertai kumpulan itu dan dia (ibu) menerima pelawaan tersebut dengan beranggapan kumpulan WhatsApp anaknya membincangkan perkara-perkara berkaitan pelajaran.
Namun, si ibu terkejut apabila mendapati perbualan rakan-rakan anak dalam kumpulan WhatsApp terarah kepada komunikasi lucah.
"Telefon anak, memang saya yang pegang. Hanya sesekali sahaja saya akan berikan kepadanya, itu pun setelah kerja sekolah siap.
"Apabila banyak notifikasi masuk ke kumpulan WhatsApp anak, saya sangat terkejut dan menggeletar apabila baca apa yang mereka tulis. Bayangkan, umur baru 10 tahun sudah pandai bercakap begini. Bukan hanya murid lelaki sahaja yang ada di group ini tetapi murid perempuan pun sertai juga.
"Saya buat laporan kepada guru kelas dan katanya akan berbincang dengan Penolong Kanan (PK). Jadi mak ayah zaman sekarang susah. Tak salah untuk beri anak telefon tetapi mesti ada limit dan kerap buat pemantauan,” tulisnya.
Sementara itu, pengguna Facebook dikenali Akhi Fairuz Al-Jengkawi turut mengulas tentang komunikasi lucah yang melibatkan kumpulan WhatsApp anak kepada asmahn. ini.
Akhi Fairuz yang merupakan penceramah motivasi berkata, kisah-kisah begini bukanlah perkara baharu malah yang lebih teruk lagi, pernah beliau kongsikan di Facebooknya.
"Dalam kes ini, mujurlah si ibu yang pegang telefon anak dan sekurang-kurangnya, dia dapat berbuat sesuatu.
"Bayangkan budak-budak lain (dalam group berkenaan) tanpa sedikit pun mak ayah tahu apa yang anak mereka lakukan. Beginilah kisah anak-anak kita hari ini. Diuji dari segenap sudut. Jika kita sebagai ibu bapa tidak bersedia dalam mendepani cabaran ini, makin hanyut anak-anak nanti,” catatnya.
Di akhir hantaran, Akhi Fairuz menitipkan nasihat kepada semua ibu bapa berkenaan kewujudan Kumpulan WhatsApp anak.
"Kepada mak ayah, ada masa nanti cubalah ambil telefon anak dan semak Kumpulan WhatsApp yang mereka sertai. Jika ada jumpa benda-benda macam begini, ketahuilah yang anak masih sempat diselamatkan.
"Yang belum beri anak sekolah rendah telefon, tidak perlu diberikan kerana ia bukan satu keperluan. Lebih baik anak diajar menguasai penggunaan komputer atau laptop daripada telefon,” tuturnya.