Tiada siapa yang mengetahui bilakah tarikh kematian masing-masing. Apabila sampai ajalnya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walaupun sesaat.
Tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong, Lundu, Sarawak iaitu Vilkie Wilson, 15; Helena Fasha Petrus, 17, dan Alasma Jithil, 14, yang meninggal dunia dalam tragedi bot karam di Sungai Kayan, mengejutkan ramai.
Mereka ‘pergi’ dalam keadaan mahu ke sekolah dan menimba ilmu demi masa depan.
Selain ahli keluarga yang bersedih dengan kehilangan mereka, seorang guru dikenali Cikgu Shasha Denzlin dilihat gagal menahan sebak menerusi hantaran beliau di Facebook, pada Khamis.
Bait-bait catatan Cikgu Shasha Denzlin menggambarkan kasih dan sayangnya kepada tiga pelajar (Helena, Vilkie dan Alasma) cukup kuat.
Cikgu Shasha yang merupakan guru tingkatan kepada Vilkie, bekas guru tingkatan Helena dan guru pembimbing Alasma meluahkan kehilangan dan mengimbas kembali saat-saat manis ketika bersama mereka menerusi laman sosialnya.
"Rest in peace beautiful souls.
"Ketua tingkatan tanya; ‘Cikgu, nama Vilkie kita nak letak tidak hadir atau macam mana?"
Kemudian sekelas menitiskan air mata.
"Sebagai bekas guru tingkatan kepada Helena tahun lalu.
"My sweet sweet Helena, cikgu sangat terkesan kerana kamu sangat manja dan rajin buat kerja sekolah.
"Kemudian, pelajar yang bijak dan happy go lucky Alasma. Budak atlet Draco dan choral speaking saya. Ada sahaja celotehnya. Sempat lagi semasa saya menghantarnya pulang ke rumah, dia kata mahu sambung belajar ke peringkat lebih tinggi seperti abang dan kakak.
"Dia mahu memasuki sekolah sains (Sekolah Berasrama Penuh) mungkin di Tingkatan Empat nanti. Kata-kata tidak mampu meluahkan segalanya. Rest well, angels," kongsi Cikgu Sasha.
Terdahulu, sebuah bot yang dinaiki 20 orang telah karam di Sungai Kayan, pada Selasa.
Bagaimanapun, 14 mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi pelajar yang dihanyutkan oleh arus sungai sejauh 1 kilometer (km) dari lokasi kejadian berjaya diselamatkan penduduk kampung.
Dua lagi mangsa iaitu seorang wanita dan pengemudi bot turut selamat kecuali tiga lagi mangsa belum ditemui.
Hasil pencarian akhirnya menemui Vilkie yang terapung kira-kira 10 meter dari Pos Kawalan Bomba dan Penyelamat pada pukul 11.58 pagi, Rabu.
Kemudian mayat Helena dijumpai terapung 1km dari lokasi kejadian pukul 5.30 petang, juga pada Rabu.
Mangsa terakhir, Alasma pula ditemukan 6.38 pagi Khamis.
Dia dijumpai terapung kira-kira 100 meter dari tempat kejadian berdekatan Kampung Selampit.