Putrajaya juara keseluruhan Ihtifal Aulad Al-Islami 2024

Iklan
Kamaldin (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada semua pemenang bagi setiap acara yang dipertandingkan.

Peserta Zon Putrajaya muncul sebagai pemenang keseluruhan Ihtifal Aulad Al-Islami yang diadakan di Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Saidina Uthman bin Affan Bandar Tun Razak, membawa pulang sijil penghargaan dan hadiah iringan Sabtu lalu.

Ihtifal Aulad Al-Islami adalah acara tahunan yang berkonsepkan pertandingan bagi mencungkil bakat murid-murid dalam pelbagai acara menarik seperti Tilawah Al-Quran, Syarahan Bahasa Melayu, Bercerita Kisah Dari Al-Quran, Hafazan, Khutbah, Azan, Seni Khat, Penulisan Jawi, dan Nasyid.

Iklan
Iklan

Acara tahunan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu dilaksanakan bagi menggilap kemahiran insani dan penghayatan nilai-nilai murni dalam kalangan para pelajar melalui kegiatan ko-akademik ke arah misi melahirkan modal insan terbaik yang dapat menyumbang kepada pembangunan generasi madani.

Acara Nasyid.

Ihtifal Aulad Al-Islami tahun ini disertai 480 peserta dari Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ), Sekolah Rendah Agama (SRA), dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), mewakili lapan buah zon di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan.

Iklan

Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah kepada para pemenang bagi setiap acara yang dipertandingkan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Kamaldin Mohd Damin.

Menurut kenyataan, pihak JAWI berharap untuk melahirkan generasi Islam yang memiliki nilai akhlak kukuh, berilmu, berdaya saing dan berdaya cipta tinggi selaras dengan Pelan Tranformasi Al-Falah yang digariskan.