Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kejadian tanah jerlus yang berlaku berhampiran Masjid India, Kuala Lumpur.
Susulan kejadian berkenaan, seorang wanita warga India berusia 48 tahun terjatuh ke dalam lubang kedalaman kira-kira lapan meter di lokasi berkenaan.
Pelbagai usaha dan cara telah dilakukan menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR), namun mangsa masih gagal ditemui sehingga ke hari ini.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apakah definisi tanah jerlus dan bagaimana ia boleh berlaku secara tiba-tiba.
Menurut perkongsian Cikgu Clare di blog rasminya, tanah jerlus berlaku apabila air bawah tanah mengalir ke atas dan membasahi kawasan dengan keadaan tanahnya agar longgar sehingga tanah tersebut bergerak-gerak.
Ia biasanya terjadi di sekitar tasik, kawasan paya atau persisiran pantai.
Katanya, tanah jerlus adalah sebahagian fenomena geobencana iaitu bencana alam yang melibatkan proses geologi akibat proses endogen.
Selain tanah jerlus, pelbagai lagi kejadian geobencana seperti gempa bumi, hujan asid, lubang benam, pemanasan global, tanah runtuh, tsunami dan volkanisme.
Semua fenomena ini akan mengakibatkan kecederaan, kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, penyebaran penyakit dan kebuluran.
Sebagai panduan bersama, Sinar Bestari turut kongsikan info penting mengenai fenomena geobencana lain.
1) Gempa bumi merupakan gegaran di kerak bumi akibat pelepasan tenaga dari dalam bumi secara tiba-tiba. Gegaran ini berlaku apabila plat-plat tektonik beranjak. Ia akan menghasilkan gelombang seismik yang berbentuk bulatan bermula daripada pusat gempa dan membesar serta tersebar ke semua arah yang boleh dikesan dengan seismometer. Selain itu, gempa bumi boleh menyebabkan kerak bumi meretak, tanah runtuh dan tsunami.
2) Hujan asid bermaksud air hujan yang mempunyai keasidan yang tinggi iaitu kurang daripada pH 5. Ia adalah sulfur dioksida dan nitorgen dioksida yang dibebaskan oleh stesen jana kuasa elektrik dan kilang serta pembakaran petrol atau diesel dalam kenderaan bermotor bertindak balas dengan oksigen dan wap air di atmosfera membentuk asid nitrik dan asid sulfurik. Hujan asid boleh mencepatkan pengaratan logam, tanah yang terlalu berasid tidak subur, sumber air berasid membunuh hidupan akuatik serta mengakis dan melarutkan ukiran batu kapur dan marmar.
3) Lubang benam berlaku apabila tanah di permukaan bumi jatuh memasuki rongga dalam alur hakisan yang terbentuk dalam lapisan batu kapur. Apabila hujan asid meresap ke dalam tanah, larutan asid mengakis batu kapur sehingga membentuk rongga-rongga kecil. Rongga ini menjadi semakin besar dan apabila rongga menjadi terlalu besar, batu kapur menjadi sangat lemah dan tidak cukup kuat untuk menyokong beban berat dari atas. Maka, permukaan tanah akan runtuh dan membentuk lubang benam.
4) Pemanasan blobal merupakan peningkatan suhu purata atmosfera bumi yang boleh menyebabkan perubahan pada pola cuaca. Berlaku disebabkan oleh kesan rumah hijau iaitu peningkatan suhu atmosfera akibat peningkatan kuantiti karbon dioksida dan gas-gas rumah hijau lain yang memerangkap haba dalam udara. Fenomena ini boleh mencairkan ais di kawasan kutub dan meningkatkan aras laut serta menyebabkan kemarau yang berpanjangan.
5) Tanah runtuh adalah susutan jisim iaitu tanah yang tidak stabil menuruni cerun akibat tarikan graviti. Biasanya berlaku pada cerun-cerun curam yang terdedah kepada proses hakisan, luluhawa, air hujan dan boleh memusnahkan harta benda serta mengancam nyawa.
6) Tsunami, kejadian ombak raksasa yang berlaku akibat gempa bumi di dasar laut, volkanisme (letusan gunung berapi) di dasar laut atau hempasan meteor di laut. Boleh membanjiri kawasan pantai dan daratan yang luas; mengancam keselamatan hidupan akuatik dan kapal serta mengubah corak dasar laut dan pantai.
7) Volkanisme berlaku apabila leburan magma terhambur keluar dari dalam Bumi disebabkan oleh tekanan tinggi. Kejadian ini berkait rapat dengan gunung berapi dan aktiviti gunung berapi. Volkanisme boleh mencemarkan udara dengan gas dan debu, mencemarkan air, menagncam nyawa dan merosakkan harta benda.