Kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan tidak hanya dirasai di beberapa bandar utama negara, malah komuniti setempat turut tidak melepaskan peluang untuk menyemarakkan semangat patriotik khususnya di Sekolah Kebangsan (SK) Sri Kinta, Perak.
Lebih 600 pelajar, ibu bapa dan komuniti setempat menyertai perarakan sambutan Ambang Kemerdekaan 2024 sekolah itu dengan memakai pakaian tradisional seperti songket, baju Melayu, sari, pakaian tradisional kaum Iban, cheongsam dan lain-lain.
Guru Besar SK Sri Kinta, Azizah Salleh berkata, aktiviti itu merupakan anjuran kali kedua pihaknya, namun kali ini ia menampilkan kelainan apabila disertai ibu bapa dan komuniti setempat.
"Sebenarnya (aktiviti) ini peringkat dalaman sahaja asalnya tetapi pada tahun lepas sewaktu kita berarak di kawasan perumahan berhampiran, ia telah menarik minat masyarakat setempat untuk turut serta apabila mereka melihat anak-anak berpakaian tradisional berarak sambil menyanyikan lagu patriotik.
"Jadi pada tahun ini, kita libatkan komuniti dengan bantuan dan penyertaan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Majlis Sekretariat Kementerian Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Komuniti Madani Kepayang C seliaan Jabatan Penerangan daerah Kinta," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Beliau berkata, dengan sokongan yang diberikan oleh pihak terbabit, telah memeriahkan lagi acara selain meningkatkan penghayatan kemerdekaan negara bertepatan tema Hari Kebangsaan 'Malaysia Madani: Jiwa Merdeka' pada tahun ini.
"Matlamat pelaksanaan program ini sudah tentu hendak semaikan semangat, tanamkan rasa cinta kepada negara, menghayati nilai-nilai yang ada dalam Rukun Negara supaya akhirnya nanti apabila dia (murid) ini berjaya menjadi seorang profesional contohnya, tetapi jiwa dan akalnya berada dalam negara tetap sayangkan negara kita," katanya.
Kongsi semangat cintakan negara
Sementara itu, Pengerusi KRT Jalan Ashby, Ahmad Hiszam Hairudin, 55, berkata tahun ini pihaknya terpanggil untuk menyertai aktiviti itu kerana mahu masyarakat setempat merasai suasana berarak sempena Hari Kebangsaan yang kebiasaannya anggota komuniti hanya menjadi penonton.
"Tahun lepas saya tengok macam hambar sikit sambutannya, jadi dengan pembabitan komuniti Madani ini kita dapatlah membantu dan memeriahkan lagi suasana sambutan, dengan ini mereka dapat merasakan semangat serta apa itu tema Malaysia Madani: Jiwa Merdeka.
"Masyarakat sendiri pun teruja untuk sertai perarakan ini selepas diuar-uarkan mereka sering kali bertanya bila dan apakah persediaan yang perlu dilakukan...mungkin akan menjadi aktiviti tahunan dengan penyertaan tambahan daripada agensi lain seperti polis, bomba dan lain-lain pada masa akan datang," katanya.
Mas Suhaila Salimmunlah, 48, ibu kepada Muhammad Ammar Darwisyi Khairul Anuar berusia 10 tahun yang bersekolah di SK Sri Kinta berkata, beliau menyambut baik perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan itu yang baginya berjaya menarik minat anak-anak untuk ke sekolah.
"Selain mengeratkan hubungan antara komuniti dan PIBG, ia juga mendidik anak-anak untuk mengenali tokoh-tokoh, mengetahui perjuangan mereka ini mempertahankan negara dan bagaimana memperoleh kemerdekaan," katanya yang turut mengenakan busana songket serta selendang.