Bidasan akhir pasukan SK Rantau Panjang (A) raih tepukan gemuruh penonton

Iklan
Barisan pendebat kumpulan A dari SK Rantau Panjang, Klang dan guru pengiring.

Gelaran naib juara disandang oleh pasukan debat Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang (A), Klang, Selangor yang menggalas tugas sebagai pembangkang ketika sesi akhir Pertandingan Debat Cilik Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Negeri Selangor baru-baru ini.

Pasukan debat sekolah itu telah melakukan perbahasan dengan penuh berkeyakinan disertai bersama hujah yang berfakta sehingga berjaya meraih tepukan gemuruh daripada penonton.

Nur Safiyya Damia tidak mahu sia-siakan peluang yang ada.

Iklan
Iklan

Wakil sekolah, Nur Safiyya Damia Zulkarnain yang juga ‘Ketua Pembangkang’ bagi pasukannya berasa bangga kerana berjaya sampai ke sesi akhir meskipun tidak berpeluang menumpaskan hujah pihak lawan.

Namun katanya, ia hanyalah permulaan buat pasukan debat sekolah untuk berusaha lebih gigih pada tahun depan.

Iklan

"Saya bersyukur kerana segala maklumat dan fakta yang dibincangkan dapat kami huraikan ketika sesi akhir pertandingan.

"Mungkin dalam beberapa perkara yang disampaikan itu terdapat sedikit kekurangan tetapi kami akan perbaiki lagi dan berlatih bersungguh-sungguh untuk pertandingan seterusnya,” katanya.

Iklan

Murid Tahun Lima itu turut memberitahu, peluang menyertai lebih banyak pertandingan debat tidak akan disia-siakan agar dapat merebut gelaran juara seterusnya mewakili Selangor ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, guru pembimbing SK Rantau Panjang (A), Asfarina Fatin Redzuan memaklumkan, anak-anak didiknya telah melakukan yang terbaik ketika sesi akhir pertandingan debat cilik tersebut.

Katanya, untuk sampai ke tahap akhir bukanlah mudah tetapi memerlukan komitmen, usaha dan dorongan yang lebih agar dapat menyuntik semangat mereka untuk tidak berputus-asa.

"Sebenarnya kalau dari segi latihan, sebulan sebelum pertandingan kami dah buat latihan kerap selepas dapat usul.

"Memang saya sebagai guru pembimbing akan tekankan mereka untuk memperbanyakkan bacaan, rajin mencari fakta sebagai persiapan membidas usul pihak lawan,” katanya.

Asfarina Fatin

Ujar Asfarina Fatin lagi, walaupun sekadar menyandang tempat kedua, tetapi ia sebenarnya adalah pencapaian yang membanggakan pihak sekolah kerana sekolah tersebut menghantar dua pasukan.

"Kami hantar dua pasukan A dan B. Pasukan B dapat tempat keempat dan A pula di tempat kedua.

"Ini sudah cukup membanggakan kerana berjaya mengalah 24 pasukan yang bertanding,” katanya.