Jelas dan yakin, senjata utama Raja Aishah

Iklan
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM, Profesor Dr Jamalunlaili Abdullah (tengah) menyerahkan hadiah Pendebat Terbaik Pusingan Awal dan Akhir kepada Raja Aishah.

Mempunyai lontaran suara jelas disertakan keyakinan tinggi dalam mengusulkan hujahan ketika sesi akhir Pertandingan Debat Cilik Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Negeri Selangor mengangkat Raja Aishah Amani Raja Khairul sebagai Pendebat Terbaik Pusingan Awal dan Akhir.

Murid Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Tiga itu berjaya membuktikan segala usaha dalam sesi latihan akhir membuahkan hasil lumayan sekali gus membanggakan ibu bapa dan sekolahnya.

Iklan
Iklan

"Syukur alhamdulillah, saya pun tidak menyangka terpilih sebagai pendebat terbaik untuk dua pusingan.

"Terima kasih kepada guru yang banyak memberi tunjuk ajar, sokongan dan dorongan,” katanya.

Iklan

Lebih mengejutkan, Raja Aishah mengakui gelaran yang dirangkulnya itu paling bermakna berikutan baru mencuba nasib sebagai pendebat.

Benarlah bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Raja Aishah dan pasukan debat sekolahnya turut dianugerahkan juara dalam pertandingan itu.

Iklan

"Sebagai menteri kedua dan pasukan, saya adalah wakil kerajaan sekali gus memerlukan persiapan rapi lebih-lebih lagi untuk mematahkan usul lawan.

"Apa yang saya lakukan adalah dengan menjaga lontaran suara agar kedengaran jelas dan yakin serta seterusnya meyakinkan juri untuk memberi markah lebih,” ujarnya lagi.

Raja Aishah bersama-sama trofi dan hadiah kemenangan.

Ditanya mengenai tip membina keyakinan diri, kongsi Raja Aishah, untuk sentiasa menerapkan pemikiran ‘Saya Boleh’ agar dapat memberikan yang terbaik ketika sesi berlangsung.

Ujarnya, latihan berkala juga perlu dilakukan lebih-lebih lagi ketika menjelang hari pertandingan sebagai persiapan untuk lebih bersedia.

Sebagai pendebat terbaik dan juara pertandingan peringkat negeri, dia dan pasukan turut terpilih mewakili Selangor bagi pertandingan debat peringkat lebangsaan.

"Saya akan tingkatkan lagi prestasi untuk banggakan sekolah dan negeri,” katanya.