Kerana video di TikTok, pemandu bas sekolah ditahan polis. 'Terima kasih Datuk Seri Nancy pantas bertindak' - Warganet

Iklan
'Abang Bas' telah ditahan polis gara-gara memuat naik rakaman video penumpang bas sekolah yang terdiri dalam kalangan murid sebagai crush atau kesayangan.

Menjadikan media sosial sebagai tempat membuat konten adalah perkara biasa dalam kalangan masyarakat termasuk guru dan pelajar.

Komuniti lain seperti pemandu bas sekolah juga tidak ketinggalan menjadikan platform itu sebagai tempat berkongsi apa sahaja aktiviti mereka.

Iklan
Iklan

Namun lain jadinya dengan pemandu bas yang dikenali dengan nama ‘Abang Bas’ di TikTok.

Dia yang yang memuat naik konten mengenai murid sekolah di dalam bas, dilihat kurang sesuai dipertontonkan ramai.

Iklan

Pengguna X, @JatIkhwan berkongsi di ruangan laman sosial itu, tentang konten ‘Abang Bas’.

"Ramai dah bercakap tentang akaun TikTok yang mencurigakan ini yang mana ada lebih 600,000 pengikut.

Iklan

"Kapsyen dia macam ada yang tak kena bagi saya. Anda tak boleh post anak perempuan seseorang yang masih di sekolah rendah dengan kapsyen ‘harini crush kita buat homework’. Dah la rakam individu bawah umur,” katanya.

Catatan @JatIkhwan akhirnya mendapat pelbagai reaksi daripada semua pihak termasuklah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau telah mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis terhadap ‘Abang Bas’, 24, ekoran perbuatan merakam kanak-kanak.

"Kami bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) negeri Johor bagi membantu siasatan.

"Perlakuan seperti ini (merakam dan memuat naik video kanak-kanak di media sosial) tidak boleh diterima dan tidak sepatutnya dinormalisasikan.

"Berkongsi gambar atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa adalah melanggar hak dan privasi kanak-kanak itu (Akta Kanak-Kanak 2001),” ujarnya.

Sinar Bestari difahamkan, ‘Abang Bas’ berkenaan sudah ditahan polis pada pukul 2.57 pagi di kawasan Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang yang membuat tangkapan itu, telah merampas telefon bimbit yang digunakan untuk memuat naik hantaran tersebut.

"Pihak polis bertindak selepas menerima laporan dan menjalankan siasatan penularan rakaman video yang memaparkan kanak-kanak dalam bas dipandu seorang lelaki.

"Video berkenaan dimuat naik pemilik dan pengendali akaun TikTok Abang Bas,” ujarnya seperti dipetik portal tempatan.

Kes disiasat mengikut Seskyen 15 (a)(iii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seskyen 15(2) Akta Kanak 2001.