Kekangan masa sukarkan Menteri Pendidikan ‘turun padang’ ke sekolah. ‘Jika ALLAH izinkan, saya pasti sampai’

Iklan
Fadhlina (kanan) meluangkan melawat SK Pangtray, baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memasang impian mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Namun, lawatan ke sekolah KPM yang berjumlah 10,000 buah itu dilihat sukar untuk direalisasikan olehnya.

Iklan
Iklan

Kata beliau, kekangan dan terhadnya kudrat serta masa adalah faktor utama untuk dirinya membuat lawatan ke sekolah yang ada.

"Insya-ALLAH, jika diizinkan, pasti saya sampai di mana sahaja anak-anak dan para guru berada, hatta di P3 (kategori Pedalaman 3) sekalipun,” tulisnya menerusi catatan di Facebook, pada Isnin.

Iklan

Hantaran yang dimuat naik merujuk kepada Program Tindak Susul Parlimen, KPM yang diteruskan ke Igan, Sarawak pada 6 hingga 7 September lalu.

Dalam program dua hari itu, Fadhlina dan pasukan Pendidikan Manusiawi KPM telah menyelusuri sungai dan jalan darat untuk meninjau sendiri keadaan di beberapa buah sekolah di Sibu, Daro dan Mukah.

Iklan

Pendekatan turun padang ini merupakan salah satu manifestasi KPM di bawah Reformasi Pendidikan bagi meningkatkan akses pendidikan berkualiti dan tahap sistem pendidikan negara demi manfaat semua.

Malah, isu akses pendidikan sekolah luar bandar dan sekolah daif turut diberi perhatian oleh KPM.

Menerusi program itu, Fadhlina memaklumkan yang pasukan KPM telah singgah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pangtray, Daro, Sarawak.

"Saya sampai di sekolah ini dan mendengar taklimat penuh daripada guru besar tentang isu-isu infrastruktur daif yang perlu diberikan perhatian.

"Bukan sahaja isu infrastruktur tetapi pengoperasian sekolah termasuk isu murid berkeperluan khas, prasekolah dan kekurangan guru.

"Syukur, usaha untuk menggantikan sebahagian premis di sekolah ini dengan yang baharu telah dimasukkan ke dalam permohonan RMKe-13 RP1.

"Terima kasih buat semua warga SK Kampung Pangtray yang sangat pemurah dan penyayang! (Saya pulang seperti Puteri Gunung Ledang yang dipinang orang, dengan buah tangan tempatan berdulang-dulang)," tulisnya di Facebook.