Tidak dinafikan aktiviti mendaki gunung mampu mendatangkan pelbagai manfaat dan kelebihan bukan sahaja kepada kesihatan diri tetapi membuka satu lembaran pengalaman baharu sebaik sahaja sampai di puncak.
Memandangkan bumi ini mempunyai beberapa gunung yang tidak hanya terkenal dengan keindahan, malah ada cabaran tersendiri menjadikan aktiviti berkenaan semakin mendapat tempat di hati mereka yang berminat.
Menariknya, mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam, Muhammad Syahrulnizam Mohd Noor baru-baru ini antara insan terpilih yang berjaya menakluki Gunung Rinjani, Indonesia.
Berketinggian 3,726 meter, Syahrulnizam berjaya melakukan aktiviti tersebut selepas mendaki selama tujuh jam.
Difahamkan, aktiviti mendaki gunung kedua tertinggi di negara jiran itu adalah sebagai persediaan awal sebelum meneruskan Misi Everest 2025.
"Penyesuaian diri, kemahiran diri bersama kecekalan diri amat penting bagi melakukan pendakian ke Gunung Everest yang tertinggi di dunia.
"Setiap gunung mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dan manakala untuk sampai di puncak, kita mesti melalui cabaran dan rintangan yang berbeza,” katanya.
Syahrulnizam merupakan mahasiswa dalam jurusan Pengurusan Sukan dan Rekreasi yang telah menjalani latihan kecergasan di Gunung Rinjani bersama Program Kembara Perpaduan Nusantara Rinjani bermula 8 hingga 14 September.
Seramai 34 peserta telah menyertai program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Nadi Sihat dengan kerjasama Persatuan Malim Gunung Perhutanan Malaysia dan Asosiasi Pemandu Gunung Indonesia.
Selepas ini, dia akan meneruskan latihan teknikal (Climbing Ice) di tengah Banjaran Himalaya, Nepal bermula 16 September hingga 30 Oktober ini sebagai persediaan fizikal dan mental dalam Misi Everest 2025.