Masalah banjir yang dihadapi Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Wan Kemara, Changlun, Kedah akibat limpahan Sungai Laka memerlukan penyelesaian jangka panjang.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Zainol Abidin Mohamad berkata, setiap kali hujan lebat air sungai akan melimpah ke kawasan sekolah memasuki kelas dan merosakkan harta benda.
Sehubungan itu, beliau berharap masalah tersebut mendapat perhatian pihak kerajaan dan peruntukan disediakan untuk membina tembok konkrit bagi menghalang kemasukan limpahan air sungai ke kawasan sekolah.
"Kita boleh elakkan banjir sekolah ini dengan bina tembok konkrit yang tinggi agar air dari kawasan sungai tidak masuk ke kawasan sekolah, sekolah ini akan selamat walaupun hujan lebat," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan itu kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan seterusnya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selain menggesa ia dilaksanakan secepat mungkin.
Dalam pada itu katanya, sekolah berkenaan dilanda banjir Selasa lepas yang surut kelmarin dan telah dibersihkan, sekali gus membolehkan persekolahan diteruskan Ahad ini. - Bernama