Walaupun menghadapi kekangan dari segi kudrat, ia bukan penghalang graduan wanita ini tampil cemerlang menamatkan pengajiannya di Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Nur Ariesha Abdullah, 22, yang juga anak jati Bongawan, Kimanis, Sabah bersyukur kerana berjaya mengenggam segulung diploma dalam Majlis Konvokesyen KTC Petronas di Pusat Konvonsyen Antarabangsa Sabah (SICC) petang Khamis.
Menurutnya, dia yang mengikuti program Diploma Industri Instrumen dan Kawalan memperoleh keputusan cemerlang dengan 3.41 Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA).
"Pada mulanya saya tidak tahu mengenai program yang ditawarkan di pusat latihan ini tetapi atas maklumat daripada rakan yang juga senior, saya buat permohonan dan diterima belajar.
"Tahun pertama agak sukar kerana kami belajar secara online kerana ketika itu negara dilanda Covid-19 dan apabila masuk tahun kedua lagi bertambah sukar kerana sudah terbiasa dengan kelas online di mana ketika itu kami memerlukan pembelajaran secara praktikal.
"Cabaran utama saya sebagai wanita adalah dari segi kudrat kerana ada alat berat memerlukan bantuan pelajar lelaki untuk membantu mengangkatnya dan dari segi penyelesaian masalah juga memerlukan perbincangan, jadi kami harus ada komunikasi yang baik sesama rakan sekuliah.
"Tetapi saya bersyukur kerana semuanya berjaya ditempuhi bersama dan dapat menamatkan pengajian di TKC," ujarnya.
Kongsinya lagi, dia memilih dalam bidang berkenaan bukan hanya untuk mengubah nasib keluarga tetapi untuk mencabar dirinya sendiri.
"Ibu saya cuma bekerja sebagai pekerja pembersihan bilik hotel manakala bapa pula pengawal keselamatan jadi dari segi perbelanjaan agak sukar juga.
"Walaupun ada tajaan tetapi ia tidak mencukupi dari segi perbelanjaan dan ada masa saya terpaksa 'ikat perut' kerana tidak mahu menyusahkan kedua ibu bapa.
"Jadi saya mahu buat yang terbaik selain ingin mencabar diri sendiri dalam bidang yang bukan semua orang boleh buat," katanya.
Jelasnya lagi, dia kini sedang menunggu keputusan untuk melanjutkan pengajian di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP).
"Berbekalkan keputusan ini, saya berharap diterima masuk ke INSTEP dan seterusnya melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.
"Insya-ALLAH, saya mahu meneruskan bidang kerjaya yang sama iaitu dalam bidang minyak dan gas yang ketika ini sedang membangun di Sabah," katanya.