Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak dan MRSM Mersing, Johor menjadi bualan ramai apabila Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengadakan lawatan mengejut ke dewan makan mereka.
Pelbagai maklum balas positif telah diberikan warganet di Facebook Asyraf Wajdi susulan terjahan beliau dan pasukannya di kedua-dua MRSM itu.
Rata-ratanya memuji cara dan gerak kerja dilakukan Asyraf Wajdi yang sentiasa pantas dalam menangani permasalahan di hadapi MRSM terbabit.
Selain reaksi positif, terdapat beberapa komen warga maya di Facebook yang berharap Asyraf Wajdi segera ‘turun padang’ ke MRSM Terendak, Sungai Udang, Melaka.
Memetik komen pengguna Facebook dikenali AD Anuar Zain, beliau berkata, isu utama yang dihadapi sekolah itu adalah kehadiran haiwan liar iaitu monyet.
"Isu utama di MRSM Terendak ini adalah monyet. Memang pelajar dah lali dengan monyet, tapi mohon ada tindakan bersepadu dari pelbagai pihak untuk cuba selesaikan masalah bagi keselesaan dan kemenjadian pelajar.
"Mungkin ada pelajar yang kuat boleh hadap, tapi mungkin juga ramai pelajar yang stres dengan monyet sampai mengganggu pelajaran, kehidupan dan psikologi mereka di sana,” catatnya.
Selain monyet, terdapat beberapa lagi masalah yang menimpa MRSM Terendak.
Sinar Bestari kongsikan di sini untuk perhatian Pengerusi Mara.
Azian Ramli: Ada masa makanan di dewan selera sekolah ini tidak dimasak dengan sempurna. Misalnya ayam yang kelihatan masih merah di dalamnya, ikan pula kadang-kadang digoreng keras. Nasi tidak cukup dan anak-anak terpaksa menunggu nasi dimasak semula. Bangunan akademik juga tidak sempurna, ada beberapa pintu kelas tanggal.
Farah: Masalah pintu dan tingkap di blok akademik yang rosak dan pecah menyebabkan monyet masuk sekali gus merosakkan barang-barang pelajar. Dah berkali-kali ibu bapa terpaksa beli kalkulator, beli buku, beg, kotak pensel dan sebagainya. Kesianlah dekat pelajar. Ini MRSM bukan sekolah pondok. Sepatutnya kenalah setaraf dengan standard MRSM.
Aeidah Amrun: Masalah tikus dalam blok asrama.
Zureen Irzam: Kami berharap sangat datuk dapat datang ke MRSM Terendak agar urusan anak-anak di sana lebih sempurna untuk pembelajaran yang lebih berkesan.
Melihatkan kepada permasalahan yang diceritakan pengguna Facebook, besar harapan Sinar Bestari agar MRSM Terendak akan dilawati Pengerusi Mara dalam masa terdekat dan menyelesaikan segala kesulitan dihadapi warganya.
Sama-sama kita doakan.