Sambutan Jualan Gudang Karangkraf 2024 turut dimeriahkan dengan kehadiran seramai 39 pelajar dan enam guru pengiring dari Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh, Perak.
Guru Kanan Bahasa, Zaihasra Md Nasir berkata, perjalanan sejauh 217 kilometer (km) ke jualan gudang itu adalah sebahagian daripada program sekolah iaitu Rehlah Minda.
Menurutnya, program berkenaan diadakan adalah untuk meraikan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Bahasa Melayu serta Kesusasteraan Melayu dan Komunikatif.
"Tujuan pihak sekolah membawa pelajar ke sini kerana mahu memupuk budaya membaca sekali gus membantu mereka memperoleh idea dalam penulisan.
"Menerusi pembacaan, kita dapat belajar banyak perkara. Antaranya dari aspek tatabahasa, penggunaan ayat dan pengumpulan idea untuk berkarya,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.
Sebelum ini ketika sekolah mengadakan Karnival Bahasa, Zaihasra memaklumkan Karangkraf adalah salah satu organisasi yang membuka reruai.
Zaihasra berkata, reruai itu ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan kerana kebanyakan pelajar dan guru bersama-sama merebut peluang untuk mendapat naskhah keluaran Karangkraf.
"Melihat kepada sambutan itu, kami (guru-guru) mengambil kesempatan untuk membawa pelajar ini ke Jualan Gudang Karangkraf 2024,” katanya.