Luahan guru tentang MC ‘Kami juga punya hati dan perasaan. Tak perlu tuduh sebegini’

Iklan
Pendidik bukannya robot yang sentiasa sihat sehingga sanggup mendidik pelajar dalam keadaan diri diuji dengan sakit.

Ramai guru berkecil hati apabila mereka didakwa sebagai ‘golongan penjawat awam’ yang paling ramai mengambil sijil cuti sakit (MC).

Dakwa para cikgu, mereka sebenarnya boleh mendapatkan MC atau Cuti Rehat Khas (CRK) berdasarkan keperluan.

Iklan
Iklan

Ia kerana, pendidik bukannya robot yang sentiasa sihat sehingga sanggup mendidik pelajar dalam keadaan diri diuji dengan sakit.

Mereka berkata demikian susulan kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang memaklumkan, golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terbabit dalam salah laku memalsukan MC, selain ada guru yang dikesan sengaja memohon cuti kecemasan (EL) untuk kepentingan peribadi.

Iklan

CUEPACS dilaporkan berkata, setiap tahun, kira-kira satu hingga dua peratus daripada 10,000 penjawat awam dikenal pasti memberi MC palsu, selain sengaja menggunakan cuti kecemasan semata-mata mahu melanjutkan tempoh bercuti.

Memetik pandangan kumpulan guru dari grup di Facebook, mereka hairan kenapa cikgu dituduh sebegitu sedangkan guru juga manusia biasa.

Iklan

"Kami juga punya perasaan. Jangan suka hati cakap begini.”

"Semua benda cikgu kena buat, jadi logiklah jika kami ambil MC dengan kelulusan Pegawai Perubatan yang bertauliah.”

"Cikgu-cikgu ini tak ada keluarga nak uruskan. Hanya diuji sakit hari cuti sekolah saja. Jadi tak perlu CRK atau MC. Macam tu lah anggapan orang ramai pada cikgu-cikgu.”

"Cikgu bukan jadi cikgu saja, cikgu jadi kerani, cikgu jadi tukang projek, cikgu buat padang, cikgu jadi coach dan macam-macam. Mana nak sihat.”

"Gurulah yang selalu berpura-pura sihat. Selagi boleh jalan tetap datang ke sekolah.”

"Tak ada istilah ambil MC. Doktor yang beri, kita tak minta pun. Kadang dapat MC dua hari tapi kita pakai satu hari saja.”

Masih dengan isu MC, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menerusi Setiausaha Agungnya, Fouzi Singon menyifatkan, kenyataan yang mengaitkan guru paling ramai mengambil MC tanpa disertakan data sahih dan bukti kukuh adalah sangat tidak bertanggungjawab.

"Perintah Am 15 Bab C memperuntukkan Ketua Jabatan boleh menggunakan budi bicaranya untuk menerima MC yang dikeluarkan doktor swasta bagi tujuan meluluskan cuti sakit.

"Peraturan berkaitan penerimaan MC daripada doktor swasta diperjelas melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2006, iaitu surat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, JPA.SARAAN (S) 43/34. Jld.3(24) bertarikh 18 Februari 2022 dan kerajaan membuat Penambahbaikan Peraturan Pengesahan Sijil Sakit Swasta yang Melebihi 15 Hari Bagi Rawatan Pesakit Luar oleh Pegawai Perubatan Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, MC akan diberikan kepada seseorang guru oleh Pegawai Perubatan yang bertauliah sama ada yang berkhidmat di hospital atau klinik kerajaan atau pun Pegawai Perubatan yang berkhidmat di hospital atau klinik swasta.

"Sijil sakit (MC) ini diberikan selepas Pegawai Perubatan mendapati seseorang guru itu tidak sihat untuk menjalankan tugasnya dengan sempurna untuk tempoh tertentu.

"Bagaimanapun, jika didapati benar ada dalam kalangan guru yang mengambil MC palsu, sila ambil tindakan berdasarkan undang-undang, peraturan atau seksyen yang sedia ada,” jelasnya.