Sejak kebelakangkan ini, kita sering mendengar isu-isu yang melibatkan pendidikan negara.
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) harus dikembalikan, anak-anak masih tidak dapat menguasai membaca, menulis dan mengira (3M), pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat sambung belajar serta pelajar lebih rela untuk bekerja sebagai influencer dan grab rider daripada menyambung pelajaran ke peringkat universiti.
Keputusan SPM tahun 2023 juga menunjukkan keputusan subjek Sains dan Matematik semakin merudum. Malah, minat terhadap subjek tersebut semakin berkurangan.
Kajian menunjukkan hanya 47 peratus pelajar sekolah menengah yang berminat untuk mengambil jurusan Sains.
Hasrat kerajaan merealisasikan dasar 60:40 untuk subjek Sains nampaknya sukar dicapai dengan trending yang semakin merosot. Siapa yang harus dipertanggungjawabkan?
Kali ini saya ingin fokus kepada isu minat pelajar terhadap subjek Sains.
Kita sering menunding jari kepada golongan pelajar mengenai isu tersebut. Golongan Melayu lebih terkesan jika dibandingkan dengan bangsa Cina dan India.
Pelajar terlalu memilih, tidak memiliki asas Sains yang kukuh, subjek Sains terlalu sukar, memilih jalan mudah dan pelbagai lagi.
Kıta harus meletakkan diri di dalam perspektif golongan pelajar itu sendiri. Selami diri mereka untuk mengetahui keadaan sebenar.
Majoriti anak-anak peringkat tadika dan sekolah rendah meminati subjek Sains. Bila ditanya apakah impian kebanyakan daripada mereka bercita cita untuk menjadi angkasawan, doktor dan saintis.
Anak-anak menunjukkan minat yang mendalam. Tetapi segalanya berubah apabila mereka memasuki alam sekolah menengah.
Minat terhadap subjek Sains terpadam begitu sahaja khususnya ketika Tingkatan Empat apabila mereka tidak lagi memilih pelajaran Sains untuk menyambung pelajaran.
Faktor guru memainkan peranan yang utama dalam meningkatkan minat anak terhadap subjek Sains.
Subjek Sains harus diajar secara interaktif dan menyeronokkan. Setiap topik harus melibatkan eksperimen yang mampu menarik minat pelajar. Cara berfikir di luar kotak dan aktiviti di luar kelas harus diterapkan.
Guru Sains harus diasuh untuk memiliki skil dalam mengajar subjek tersebut. Pelajar sering mengeluh menyatakan subjek Sains terlalu sukar.
Apabila minat terhadap subjek Sains meningkat, pemahaman dan keyakinan diri terhadap subjek tersebut juga akan meningkat dan tidak akan ada lagi alasan untuk menyatakan subjek Sains sukar.
Kurangnya infrastruktur dan makmal Sains di sekolah juga memainkan peranan.
Kerajaan harus berbelanja lebih untuk mewujudkan suasana persekolahan yang meşra-Sains.
Perbanyakkan buku-buku Sains di perpustakaan sekolah, Minggu Sains setiap bulan, ikon Sains, Pesta Sains dan pelbagai pertandingan Sains di peringkat kebangsaan melibatkan sekolah di kawasan pedalaman.
Peluang pekerjaan tinggi harus diwujudkan dengan gaji yang lumayan sebagai insentif untuk anak-anak lebih bersemangat memilih kerjaya yang melibatkan Sains.
Ibu bapa juga harus memainkan peranan dalam mengalakkan anak-anak untuk menceburi diri dalam bidang Sains.
Kıta masih belum lagi terlambat walaupun jauh ke belakang jika dibandingkan dengan negara ASEAN.
Kerajaan, guru, ibu bapa dan pelajar sendiri harus memainkan peranan. Bertindak sekarang sebelum keadaan menjadi semakin meruncing.
Maklumat Penulis
Angkasawan Negara yang juga merupakan Felo Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my