Sehebat mana pun kejayaan yang diraih, ia terasa kosong apabila ibu atau bapa tidak memberikan sokongan atau penghargaan terhadap pencapaian tersebut.
Itulah yang sedang dilalui seorang pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun tidak dihargai sang ayah.
Kisah sedih itu dikongsi pengguna X, Cikgu_Anep menerusi hantaran di platform tersebut baru-baru ini.
Dalam muat naik di X, Cikgu_Anep memaparkan gred SPM setiap subjek yang diperoleh pelajar berkenaan.
Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, beliau mendapat A manakala subjek lain seperti Bahasa Inggeris A, Pendidikan Islam A+, Sejarah A, Matematik A, Matematik Tambahan C+, Fizik B, Kimia B dan Biologi A+.
Melihatkan kepada keputusan itu, ternyata beliau seorang pelajar cemerlang, fokus dan rajin mengulang kaji pelajaran.
Bagaimanapun, pelajar tersebut melahirkan perasaan sedih yang teramat apabila ayahnya tidak menghargai kejayaan dalam SPM.
"Alhamdulillah, only ALLAH know how I am struggle.
"Tapi bapak aku kecewa gila muka dia waktu aku tunjuk (slip peperiksaan) dan dia tak kata congrats pun. Takpa (tak mengapa) sedih sikit ja," tulisnya pada slip keputusan itu.
Sementara itu, Cikg_Anep di X berkata, dia sangat sedih dengan apa yang dilalui bekas pelajarnya.
"Dia seorang pelajar yang sangat baik, menghormati guru, rajin belajar dan sentiasa beri kerjasama dalam kelas. Bagus je keputusan dia, tapi itulah!
"Ibu bapa, tolonglah...Saya merayu. Jadilah pemangkin anak-anak bukan menjatuhkan mereka,” tulisnya.
Menjengah ruangan komen di media sosial, Sinar Bestari mendapati ramai ibu bapa yang kesal dengan sikap bapa pelajar itu.
Kata mereka, tidak sepatutnya seorang ayah ‘kecewa’ dengan keputusan SPM si anak sedangkan gred tersebut sudah dikategorikan sangat cemerlang.
Mentari Seri Cahaya: Takpa dik. Ramai sudi jadikan awak anak angkat kalau bapak tak nak mengaku. Tahniah dik! Makcik doakan anak berjaya dunia akhirat.
Diamond Qaisara: Ya ALLAH. Hargailah anak yang dah berjuang berusaha yang terbaik untuk membanggakan ibu ayahnya.
Mohd Fauzi: Alhamdulillah, tahniah. Jadilah ibu bapa yang sentiasa bersyukur dalam apa jua keadaan.
Sya Sams: Tengok keputusan pun tahu budak pandai. Keep going kid.
Musafirah Fillah: Ibu bapa perlu hargai setiap keputusan walaupun mereka tidak cemerlang dalam peperiksaan. Jangan paksa anak ikut kehendak ibu bapa. Didiklah mengikut zon mereka. Bukan ikut kemahuan ibu bapa. Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. ALLAH kurniakan kemampuan setiap manusia berbeza-beza.
Badrul Hisham: Bapak dia kalau ambik exam belum tentu pun dapat sebaik itu.
Cikgu Haiza: Bagus result tu. Tahniah.