"Hanya golongan T15 dikenakan kenaikan yuran sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Sains atau universiti awam (UA).
"Daripada dana itu boleh digunakan untuk membantu rakyat atau pelajar kategori M40 dan B40,” demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat petang Jumaat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, matlamat asal penubuhan SBP adalah untuk membantu murid cemerlang dan dari keluarga susah serta pedalaman mendapatkan pendidikan terbaik.
Namun katanya, berdasarkan angka terkini, didapati 30 peratus murid dari keluarga berpendapatan tinggi telah mendapat manfaat.
Begitu juga di peringkat pendidikan tinggi, umpamanya purata yuran pengajian setahun yang dibayar oleh penuntut sarjana muda farmasi ialah RM3,000 ketimbang kos keseluruhan pengajian berjumlah RM30,000.
"Seandainya subsidi pendidikan dikurangkan secara berperingkat bagi kumpulan pendapatan 15 peratus teratas, kutipan yang diraih boleh dimanfaatkan untuk menambah baik prasarana SBP dan institusi pengajian tinggi (IPTA) tersebut untuk manfaat semua pelajar,” ujarnya.