KPM lulus peruntukan RM300,000 baiki enam sekolah terjejas bencana ribut

Iklan
SMA Al Falah yang terjejas teruk akibat bencana alam itu pada Rabu. Gambar kecil: Jelani.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan peruntukan segera sebanyak RM300,000 untuk membaiki enam buah sekolah di daerah Kemaman yang terjejas akibat bencana ribut pada Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, antara sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, SK Seri Kemaman, SK Seri Iman, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Chukai, SMK Sultan Sulaiman dan SMK Bukit Mentok.

Iklan
Iklan

Menurutnya, agihan peruntukan untuk membaiki setiap sekolah yang terjejas telah dilakukan mengikut nilai kerosakan dan kerugian yang ditanggung.

"Proses pembersihan sisa runtuhan dan serpihan bumbung yang diterbangkan angin telah dijalankan bermula Khamis lalu.

Iklan

"Selain bumbung, kerosakan lain yang berlaku melibatkan kebocoran bilik-bilik khas dan bilik komputer.

"Buat masa ini kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikian sedang dilakukan dan kita jangka ia boleh disiapkan lebih awal," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, Jelani berkata, semua pelajar di enam sekolah terlibat dijangka akan memulakan sesi persekolahan seperti biasa pada Ahad ini.

"Untuk sebuah lagi sekolah iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Falah yang merupakan sekolah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), saya difahamkan ia diberikan cuti peristiwa sehari lagi pada Ahad memandangkan sekolah itu mengalami kerosakan teruk ketika ribut baru-baru ini.

"Proses penilaian kerugian dan kerosakan serta anggaran kos membaik pulih sekolah tersebut di buat oleh Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT)," ujarnya.

Bencana ribut dan hujan batu yang melanda daerah Chukai, di sini pada petang Rabu lalu mengakibatkan 244 buah rumah rosak.

Kejadian tersebut melanda bandar Chukai di sini serta kawasan dalam radius kira-kira tiga kilometer( km) di sekitar lokasi tersebut.